Hilang Kaki Demi Negara


KUALA LUMPUR: Biarpun kehilangan kaki kiri akibat terkena jerangkap samar ketika menyertai satu operasi tapi jika negara memerlukan khidmatnya bila-bila masa saja veteran tentera Sarjan Mohamad Yunus Abdullah sanggup kembali mengangkat senjata.

Itu adalah bukti kesetiaan tidak berbelah bagi Mohamad Yunus, 69, yang sebelum ini pernah berkhidmat bersama Rejimen Renjer Diraja dan terbabit dalam pelbagai operasi untuk mengekang ancaman musuh negara.

Mengimbau kembali kejadian hitam kehilangan kaki kirinya pada 1976, Mohamad Yunus berkata, dia bersama 29 lagi rakan seplatun terbabit dalam operasi menangani ancaman komunis di sempadan negara.

Katanya, maklumat risikan yang diterima mengesahkan kehadiran Chin Peng di Betong, Thailand dan pasukannya terus bergerak ke kawasan berkenaan.

“Kami bergerak menggunakan helikopter Nuri namun tidak dapat mendarat kerana pihak komunis sudah menunggu di kawasan itu.

“Oleh kerana tiada pilihan, kami terpaksa terjun dari helikopter meskipun ketinggian ketika itu lebih 30 meter namun mujurlah, tiada kecederaan yang berlaku,” katanya ketika ditemui pada sesi wawancara Kempen Tabung Pahlawan, semalam.

Mohamad Yunus berkata, ketika melalui sebuah perkampungan, dia yang ditugaskan sebagai skuad peninjau berada paling depan berbanding rakan seplatun lain dan terpijak jerangkap samar yang dipasang oleh pihak komunis.

“Jerangkap samar itu meletup dan pak cik terpelanting ke dalam sebuah lubang. Ketika itu, pak cik masih sedar tetapi kaki kiri tidak berasa apa-apa manakala tulang tumit kaki (kaki kiri) jelas kelihatan,” katanya.

Menurut ayah kepada tiga anak itu lagi, dia dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut sebelum dimaklumkan doktor bahawa kaki kirinya perlu dipotong bermula dari bawah lutut kerana kecederaan yang dialami amat serius.

Selepas pulih, Mohamad Yunus meminta ditukarkan ke Kementerian Pertahanan, Jalan Semarak dan bersara pada umur 45 tahun iaitu selepas 22 tahun enam bulan berkhidmat kepada negara.

Menurutnya, sepanjang berkhidmat dan selepas bersara, dia mendapat pelbagai bantuan termasuk bantuan kaki palsu daripada Tabung Pahlawan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera melalui akaun Maybank 5647 1752 1826 atau CIMB 8602 700 401.-myMetro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA