Hendak Kurus, Antara Punca Wanita Terjebak Dadah - Timbalan Menteri



KUALA LUMPUR: Niat untuk menguruskan badan dan mencari keseronokan di kelab malam adalah antara sebab wanita di negara ini terjebak dengan penyalahgunaan dadah, menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Kujat.

Menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, bagi tempoh 2009 hingga Ogos tahun ini, seramai 4,908 penagih dadah terdiri dari kaum wanita.

"Bagi tahun 2009, 278 (penagih dadah wanita), 2010 (580), 2011 (460), 2012 (439), 2013 (668), 2014 (699), 2015 (1,013) dan (sehingga) Ogos 2016, 741 orang," katanya kepada Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong).

Noraini meminta kementerian menjelaskan statistik terbaru penagih dadah bagi golongan bawah umur dan wanita sejak 2009.

Beliau juga bertanya sama ada bilangannya menaik atau menurun dan apakah faktor dan langkah yang diambil bagi memastikan masyarakat tidak terjebak dalam gejala tersebut.

"Malah, baru-baru ini, ramai wanita terjebak dengan syabu untuk menguruskan badan," tambah Masir.

Selain itu, katanya, punca yang menyebabkan kebanyakan penagih terjebak dengan penyalahgunaan dadah ialah pengaruh rakan sebaya dan perasaan ingin tahu.

Berdasarkan statistik Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), jumlah terkumpul golongan remaja bawah 18 tahun sejak tahun 2009 hingga adalah lebih 5,000 orang.

"Bagi tahun 2009, seramai 332 orang (remaja bawah 18 tahun), 2010 (2,241), 2011 (748), 2012 (419), 2013 (405), 2014 (62), 2015 (715) dan sehingga Ogos 2016, 498 orang," kata Masir lagi.

Menurutnya, pelbagai program dilakukan oleh kerajaan bagi mencegah gejala penyalahgunaan dadah terutama di kalangan pelajar sekolah.

"Antaranya, Program Intelek Asuhan Rohani untuk Sekolah Rendah, Program Hidup Elak Derita di Sekolah Menengah, bagi mewujudkan ketahanan dan keupayaan tinggi pelajar dan mengelakkan diri dari penyalahgunaan dadah," katanya.

Tambahnya, setiap tahun terdapat 30 peratus kes penagihan dadah berulang terutama di kalangan pelajar sekolah. - Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA