Helikopter Bantu Operasi Cari Dua Pendaki Malaysia



KUALA LUMPUR: Kedutaan Malaysia di Tehran berjaya mendapatkan khidmat helikopter Persatuan Bulan Sabit Merah Tehran bagi melakukan operasi pencarian dua pendaki yang hilang ketika mendaki Gunung Damavand di Iran.

Ketua Ekspedisi, Rozaimi Md Said yang kini berada di Reyney, berkata sebuah helikopter sudah disediakan dan kini sedang menunggu cuaca mengizinkan bagi melakukan operasi pencarian secepat mungkin.

"Cuaca di Gunung Damavand cerah dan baik hari ini namun begitu cuaca di kawasan bandar terutamanya Tehran hujan dan bersalji menyebabkan kesukaran bagi helikopter untuk berlepas," katanya yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp di sini, malam ini.

Dua pendaki itu, Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50 dan Ramli Abd Majid, 34, dilaporkan hilang di gunung itu sejak Ahad lalu selepas terpisah daripada anggota kumpulan pendaki yang lain.

Mengulas lanjut, Rozaimi berkata, bagi pencarian melalui jalan darat, beliau dimaklumkan Persatuan Bulan Sabit Merah itu bahawa misi akan dilakukan sejurus keadaan salji di laluan gunung berkenaan sesuai untuk diharungi.

Dua pendaki Malaysia yang hilang ketika mendaki Gunung Damavand dikatakan bertekad untuk menawan puncak gunung setinggi 5,610 meter itu sebelum disahkan hilang. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA