Hayat Bayi Otak Di Luar Tempurung Hanya 7 bulan


ALOR SETAR: Hayat seorang bayi yang dilahirkan de­ngan sebahagian otaknya berada di luar tempurung kepala hanya tujuh bulan apabila dia menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini semalam.

Muhammad Fakhrullah Firdaus meninggal dunia pada pukul 11.20 malam di sisi ibunya, Hasida Ahmad, 35.

Menurut Hasida, anak bongsu daripada tiga beradik itu dimasukkan ke HSB pada Sabtu lalu selepas diserang sawan dan dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sepanjang menerima rawatan di hospital.

“Semasa di hospital, keadaan jantungnya tidak stabil selain terpaksa bergantung kepada bantuan pernafasan dan lebih teruk apabila bahagian otak itu pecah sehingga mengeluarkan cecair,” katanya ketika ditemui di surau Flat Simpang Kuala di sini hari ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Abdul Hafiz Syed Mustapa yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah hadir menziarahi ke­luarga tersebut di rumah mereka di sini hari ini.

Katanya, kesihatan bayinya semakin merosot sehinggalah dia menghembuskan nafas ter­akhir semalam di wad kanak-kanak.

“Pemergian Fakhrull sangat dirasai kerana saya sentiasa berada di sisi sejak dia lahir. Sudah pasti hidup saya sunyi selepas ini,” ujarnya menahan sebak.-UTUSAN


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA