#DUNSarawak: Hasil negeri diunjur RM5.321 bilion: Adenan


KUCHING: Hasil negeri Sarawak diunjurkan sebanyak RM5.321 bilion untuk tahun 2017, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Bekalan (2017), 2016 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari pertama, semalam.

Menurut beliau, hasil tersebut merupakan perolehan daripada kutipan hasil cukai, hasil bukan cukai, penerimaan bukan hasil serta geran persekutuan dan pembayaran semula.

“Bagi perolehan menerusi kutipan cukai, ia dijangka mencatat kutipan berjumlah RM1.25 bilion merangkumi premium dan royalti hutan berjumlah RM539 juta, cukai jualan (RM440 juta) serta RM271 juta royalti air mentah dan perlombongan, sewaan tanah dan lain-lain lagi,” katanya.

Sementara itu, katanya, hasil bukan cukai pula diunjurkan sebanyak RM3.9 bilion menerusi perolehan daripada bayaran pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas berjumlah RM1.577 bilion, pendapatan dividen (RM755 juta), pendapatan berfaedah (RM1.011 bilion), premium tanah (RM300 juta), bayaran pampasan tunai sebagai ganti duti import dan eksais terhadap produk petroleum (RM120 juta) serta RM137 juta bagi hasil lesen, yuran perkhidmatan, permit dan sewaan.

Dua perolehan lain pula adalah daripada penerimaan bukan hasil menerusi ganti rugi kemusnahan hutan serta pelupusan aset dan geran persekutuan serta pembayaran semula yang masing-masing diunjurkan sebanyak RM21 juta dan RM150 juta, ujarnya.

Sementara itu, bagi Anggaran Perbelanjaan Biasa 2017 pula, ia dianggarkan berjumlah RM5.706 bilion, di mana daripada jumlah keseluruhan itu, sejumlah RM2.206 bilion adalah untuk perbelanjaan operasi manakala baki sejumlah RM3.5 bilion pula dicadangkan untuk Dana Berkanun yang bersesuaian untuk tujuan kewangan projek dan program pembangunan.

“Cadangan peruntukan sebanyak RM2.206 bilion untuk perbelanjaan operasi bagi tahun depan (2017) meningkat sebanyak RM133 juta (6 peratus) melebihi peruntukan yang diluluskan untuk perbelanjaan bagi tahun ini iaitu sebanyak RM2.073 bilion.

“Daripada jumlah peruntukan bagi perbelanjaan operasi untuk 2017 itu, sejumlah RM735 juta (33 peratus) adalah untuk emolumen kakitangan,” jelasnya.

Selain itu, jelasnya sejumlah RM749 juta (34 peratus) adalah perbelanjaan bagi perkhidmatan dan bekalan, bayaran tetap dan geran termasuk geran operasi untuk badan berkanun serta pihak berkuasa tempatan (PBT), khidmat hutang am dan bayaran gratuiti, pencen serta biasiswa (RM678 juta-31 peratus), perolehan aset (RM34 juta) dan perbelanjaan operasi lain (RM10 juta).

Dalam perkembangan berkaitan, Adenan juga berkata mengambil kira anggaran lain, kerajaan negeri tetap komited melengkapkan pelaksanaan projek yang sedang giat dijalankan serta keupayaan agensi-agensi di negeri ini untuk melaksana projek sepanjang tahun.

“Maka itu, jumlah bajet yang dicadangkan iaitu RM5.928 bilion untuk tujuan pembangunan juga termasuk bagi membiayai pelbagai program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 Negeri dan inisiatif Transformasi Negeri 2017.

“Daripada jumlah peruntukan untuk pembangunan itu, RM5.646 bilion dibiayai oleh kerajaan negeri manakala baki RM282 juta pula dibiayai oleh kerajaan persekutuan melalui geran dan pinjaman yang dibayar balik,” jelasnya.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA