Harga Minyak Mentah Dunia Jatuh Lebih 1 Peratus


SINGAPURA: Harga minyak jatuh lebih satu peratus dalam dagangan pagi ini, meneruskan penyusutan daripada Jumaat lalu berikutan keraguan yang muncul semula terhadap pengeluar utama yang merancang mengurangkan pengeluaran pada mesyuarat yang dirancang pada Rabu ini bagi mengurangkan lebihan bekalan global.

Niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan AS$46.40 satu tong pada 0035 GMT, turun 84 cents atau 1.8 peratus daripada penutup sebelumnya. Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat susut 74 cents atau 1.6 peratus kepada AS$45.32 satu tong.

Penurunan itu selepas penurunan harga lebih tiga peratus pada Jumaat lalu berikutan perbezaan pendapat anggota Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeksport bukan OPEC seperti Russia yang mempertikaikan negara mana yang perlu mengurangkan pengeluaran global.

"Keraguan lebih lanjut mengenai perjanjian pemotongan pengeluaran OPEC menyaksikan harga minyak mentah jatuh," kata ANZ Bank, hari ini. OPEC akan bertemu di Vienna pada Rabu untuk membuat keputusan lanjut mengenai pengurangan pengeluaran, yang turut membabitkan negara bukan OPEC seperti Russia atau Azerbaijan. - Reuters

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA