Hampir 150 Doktor Pakar Letak Jawatan Setiap Tahun - Hilmi Yahaya



KUALA LUMPUR  - Hampir 150 doktor pakar yang bekerja dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meletakkan jawatan setiap tahun sejak enam tahun lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, daripada Januari hingga September tahun ini, 128 doktor pakar telah meletakkan jawatan, manakala 124 orang mengambil langkah yang sama tahun lepas.

"Unjuran sejak enam tahun lepas masalah doktor pakar yang meletakkan jawatan adalah hampir 150 orang setahun, kita terus kehilangan mereka menyebabkan antara faktor kurangnya doktor pakar," katanya menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ikmal Hisham ingin tahu keseriusan masalah kekurangan doktor pakar di negara ini dan sama ada Malaysia mampu mencapai sasaran nisbah satu doktor kepada 400 pesakit menjelang 2020.

Hilmi berkata, antara penyebab doktor pakar meletakkan jawatan ialah mereka menunggu terlalu lama untuk dinaikkan pangkat.

Katanya, doktor pakar gred U53 dan U54 didapati paling ramai meletakkan jawatan apabila terpaksa menunggu sehingga 10 tahun untuk dinaikkan pangkat.

"Sehubungan itu kita sedang melakukan pelbagai langkah untuk memastikan mereka kekal dengan memperkenalkan satu lapis gred iaitu Gred 56 yang masih lagi dalam perincian Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya.

Selain itu katanya, faktor pendapatan pakar di hospital kerajaan yang lebih rendah berbanding hospital swasta juga antara perkara yang diberi perhatian oleh kerajaan iaitu dengan memperluaskan polisi 'Pesakit Bayar Penuh' di hospital KKM untuk membantu pakar menambah pendapatan mereka.

Beliau turut memaklumkan, sehingga September tahun ini terdapat lebih 4,000 doktor pakar berkhidmat dengan KKM dalam pelbagai bidang kepakaran.

"Walaupun terdapat peningkatan bilangan doktor pakar saban tahun, namun kita kekurangan doktor pakar selaras peningkatan penduduk, beban penyakit dan sebagainya," katanya. - BERNAMA

1 comment:

  1. Bodoh punya polisi pesakit bayar penuh...doktor pakar tak cukup gaji,pesakit kena bayar lebih,kenapa tak kerajaan naikkan bajet untuk kesihatan..dah la kami kena bayar macam2 cukai,kena tipu dgn kerajaan sana sini,barang semua naik harga..mane pegi duit gst..gampang betol kerajaan sekarang..semua haram jadah..

    ReplyDelete

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA