Hafreez Adam Enggan Timbul Fitnah Kongsi Hal Peribadi


PETALING JAYA: Pelakon Hafreez Adam tetap dengan pendiriannya untuk tidak bercakap soal peribadi secara terbuka bagi mengelakkan timbul sebarang salah faham.

Hafreez, 26, berkata, sekiranya dia terlalu terbuka berhubung soal itu ia akan menyebabkan lebih banyak spekulasi timbul yang akhirnya akan menimbulkan fitnah.

"Saya lebih selesa hanya bercakap tentang soal karier seni dan bukannya tentang hal-hal peribadi kerana tidak mahu menimbulkan sebarang salah faham.

"Daripada salah faham juga ia boleh menimbulkan fitnah yang pada akhirnya akan mencalarkan nama baik keluarga.

"Jadi lebih baik saya tidak bercakap apa-apa tentang perihal peribadi kepada umum," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Hafreez berkata, dia mengambil langkah berkenaan kerana memegang amanat ibunya agar menjaga batasan dan nama baik keluarga.

"Ibu saya seorang ibu tunggal dan dia banyak berkorban untuk membesarkan saya jadi apabila dia berpesan agar menjaga batasan dan nama baik keluarga saya patuh.

"Saya tidak mahu dia berasa bimbang atau susah hati jika ada isu-isu tidak enak berlaku melibatkan nama saya," jelasnya.

Bercakap mengenai perkembangan karier seninya, Hafreez berkata, dia bersyukur apabila dia semakin mendapat peluang daripada pihak produksi untuk mengetengahkan bakatnya sebagai pelakon.

Malah kata Hafreez, dia teruja apabila diberi kepercayaan memegang peranan utama dalam drama bersiri terbaharu berjudul Pengantinku Jatuh Dari Langit yang menggandingkannya dengan Afifah Nasir.

"Alhamdulillah karier lakonan semakin berjalan lancar dan lebih banyak peluang saya dapat untuk benar-benar menyerlahkan bakat yang ada.

"Peluang itu tidak saya sia-siakan dan saya akan sentiasa memberikan terbaik tambahan pula sokongan peminat sentiasa menaikkan semangat saya," ujarnya.

Selain Hafreez, drama 30 episod arahan Idora Abdul Rahman itu turut menampilkan Faye Kushairi, Azhar Sulaiman, Fahad Iman, Kismah Johar dan Azam Pitt.

Ia bakal bersiaran bermula 30 November ini pada setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 9 malam di HyppSensasi (HyppTV 116) dan HyppTV Everywhere (aplikasi mobil HyppTV).

Selain itu, Hafreez juga bakal muncul dalam projek usaha sama Malaysia dan Indonesia berjudul Gantung dan menggandingkannya dengan pelakon popular Randy Pangalila.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA