Guan Eng Perlu Fahami Keadaan Sebenar - Fadillah


KUCHING: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berharap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng untuk menghabiskan lebih banyak masa untuk memahami keadaan sebenar dan bukannya mengeluarkan kenyataan populis.

Beliau berkata, Guan Eng juga tidak bertanggungjawab dengan melabelkan secara sembarangan semua pihak sebagai kroni.

Malah menurutnya, pemimpin DAP itu turut menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya menjaga kroni untuk mendapatkan keuntungan luar biasa dari perbelanjaan 30 juta rakyat Malaysia dengan membenarkan Lebuhraya Utara-Selatan untuk terus mengutip tol dengan cara tidak munasabah.

"Saya tidak percaya bahawa YAB Lim menganggap 14.55 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai kroni.

"Sekarang LUS 51 peratus dimiliki kerajaan dan 49 peratus dimiliki KWSP. Tiada satu saham yang dimiliki sekrang oleh apa yang YAB Lim anggap sebagai 'kroni' swasta," katanya menerusi kenyataan akhbar.

Fadillah menambah, pemilikan KWSP terhadap PLUS Highways membolehkan anggotanya untuk menerima pulangan yang stabil setiap tahun daripada aset penjanaan tunai yang matang.

"Oleh kerana langkah ini tepat pada masanya untuk menswastakan PLUS, ia perlu diambil perhatian bahawa tol bagi Lebuhraya Utara-Selatan telah dinaikkan sejak 11 tahun yang lalu iaitu sejak tahun 2005.

"Malah, dengan pengenalan diskaun dan rebat tertentu pada tahun kebelakangan ini, kadar tol sebenar untuk Lebuhraya Utara-Selatan juga telah turun," ujarnya.

Sejak pengambilalihan menurutnya lagi, selain membelanjakan kira-kira RM1 bilion setahun untuk kos operasi, penyelenggaraan, rondaan dan menaik taraf 986.5km lebuh raya sistem PLUS, PLUS juga telah membelanjakan berbilion-bilion untuk melebarkan jalan kepada tiga atau empat lorong untuk mengurangkan kesesakan dan menyediakan perjalanan yang lebih selamat dan lebih selesa untuk pengguna jalan raya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA