Gol Tercantik Dunia, Messi & Neymar Saingan Faiz Subri


KUALA LUMPUR: Gol ‘melanggar hukum fizik’ oleh penyerang Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri yang tersenarai dalam Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjadi perbualan hangat netizen ketika ini.

Rata-rata netizen bangga terhadap pencapaian yang dianggap bersejarah, malah ada segelintir peminat menyamakan gol itu seakan jaringan yang pernah dilakukan bintang Brazil, Roberto Carlos apda 1997.

Seorang pengguna aplikasi Twitter, @ZareefZubir berkata, “Tahniah! Gol Faiz Subri dicalonkan dalam Anugerah Puskas FIFA sebagai gol tercantik 2016. Terbaik!. Do vote our proud Malaysian guys!” (Undilah pemain kebanggaan Malaysia).

Sementara itu, @muhdarif69 dalam entri akaun Twitter beliau pula meminta rakyat Malaysia secara umum mengundi jaringan Mohd Faiz itu.

“Mohon rakyat Malaysia mengundi gol Faiz Subri ala-ala Roberto Carlos supaya berjaya memenangi Anugerah Puskas nanti,” katanya.

FIFA menerusi lawan web rasminya, www.fifa.com pada Isnin lepas menyenaraipendekkan 10 gol menarik dari 30 Sept 2015 sehingga 30 Sept 2016 untuk Anugerah Puskas FIFA.

Peminat bola sepak tempatan masih berpeluang mengundi melalui laman web rasmi FIFA, www.fifa.com sehingga 2 Dis ini.

Tiga jaringan terbaik yang mendapat undian tertinggi akan melalui proses undian kedua dan pemenang akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich pada 9 Jan depan. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA