‘Gila Seks’ Guna Taktik Periksa Payudara Online


Situasi yang mengerikan kepada golongan wanita apabila diminta memberikan gambar payudara kepada individu yang tidak dikenali melalui dalam talian dengan alasan untuk pemeriksaan.

Umum mengetahui, pemeriksaan payudara ini perlu dilakukan dengan sentuhan bagi memastikan tiada ketulan yang boleh membawa kepada penyakit kanser serta nasihat daripada doktor yang bertauliah.

Namun, individu yang digelar ‘gila seks’ ini tidak pernah putus asa untuk memuaskan nafsu sehingga munculnya taktik kotor iaitu menyediakan perkhidmatan pemeriksaan payudara secara dalam talian melalui laman sosial.

Dengan alasan mahu gambar payudara untuk membuat pemeriksaan berkenaan sebarang penyakit pada badan mangsa, taktik berkenaan mula dikesan melalui penghantaran mesej di aplikasi Facebook.

Menyasarkan wanita sebagai pemuas nafsu, individu gila seks ini akan hantar mesej dengan menawarkan pemeriksaan payudara.

Pelanggan bakal diberikan hadiah bagi setiap penyertaan serta gambar mereka akan dipadam selepas pemeriksaan tersebut.

Kononnya, wanita yang memberikan gambar payudara mereka akan menerima wang tunai RM800 dan kupon membeli-belah serta sebuah telefon bimbit.

Taktik ini dikenal pasti tersebar di media sosial apabila perkongsian perbualan seorang wanita yang diminta untuk menghantar gambar payudaranya untuk tujuan pemeriksaan secara dalam talian.

Dalam perbualan tersebut, wanita itu cuba mendapatkan kesahihan mengenai kaedah pemeriksaan payudara secara dalam talian namun hanya diberikan testimoni oleh pemberi mesej.

Lebih membimbangkan apabila mesej tersebut adalah dari kalangan rakannya di Facebook yang juga seorang wanita.

Rakannya itu mendakwa, pemeriksaan tersebut adalah dari Persatuan Kebajikan Kanser Payudara namun disebabkan ragu-ragu, wanita itu enggan memberikan gambar payudaranya.

“Auntie saya kerja di hospital dan in-charge bahagian payudara. Jadi saya akan rujuk berita ini pada dia untuk kepastian,” jawab wanita tersebut.

Pemeriksaan Mynewshub mendapati akaun Facebook pemilik akaun yang didakwa meminta gambar payudara tersebut telah digodam semalam.

Menerusi satu akaun Facebook Puan Seri Wann dalam statusnya menjelaskan akaun laman sosial rakannya itu Puan Sha Rahman telah digodam dan digunakan untuk meminta gambar payudara daripada wanita untuk pemeriksaan.

Menurutnya, kejadian tersebut yang berlaku semalam sudah dilaporkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. -MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA