Getaran Jiwa P Ramlee Di Peru


BUAT kali kelima, lagu dendangan artis Malaysia akan berkumandang menerusi siaran radio di Lima, Peru.

Kali ini stesen Radio Filarmonia 102.7 akan menyiarkan 22 lagu baharu dan klasik, antaranya Alleycats, Datuk Siti Nurhaliza, Sudirman Haji Arshad, Datuk Sharifah Aini, Yuna serta legenda seniman Tan Sri P Ramlee dan seniwati Puan Sri Saloma.

Kerjasama atas inisiatif Duta Malaysia di Peru, Chuah Teong Ban, adalah sempena kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2016 di sini.

Siaran bermula jam 9 pagi esok waktu tempatan atau 10 malam waktu Malaysia.

Siaran radio dalam bahasa Sepanyol itu boleh didengar sehingga 10 juta penduduk Lima dan ke seluruh dunia menerusi siaran atas talian http://www.filarmonia.org.

Pendengar boleh klik pilihan atau 'option' Estamos transmitiendo: Escuchar en vivo untuk mendengar siaran berkenaan pada jam 10 malam esok waktu Malaysia.

Antara lagu yang telah disenaraikan adalah Getaran Jiwa, Sampaikan Salam Cintaku, Apo Nak di Kato, Chow Kit Road, Jaga Dia Untuk Ku dan Bahtera Merdeka.

Turut disiarkan, lagu patriotik Jalur Gemilang, Keranamu Malaysia, Tanggal 31 dan Nyalakan Tekad.

Chuah berkata, sebelum ini program seumpama itu diadakan sempena Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan Aidilfitri. 

Beliau yang bertukar ke Peru dari Ukraine pada Februari lalu, berkata antara lain, ia bertujuan memperkenalkan Malaysia dan budaya serta rakyat ke negara Amerika Latin ini.

"Selepas ini, kita akan adakan pula sempena Tahun Baharu Cina, Hari Gawai dan Pesta Kaamatan," katanya.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA