Generasi Muda Sedang Menilai Merah Dan Kuning' - WeMalaysia



KUALA LUMPUR: Generasi muda sedang menilai dengan matang tindakan Kumpulan Baju Merah dan Bersih yang mahu perlakuan masing-masing dilihat tidak melanggar hak asasi manusia.

Pengerusi International WeMalaysia Movement (WeMalaysia) , Mohd Ali Halim Sirat berkata, ia dijadikan platform anak muda untuk memilih pihak yang terbaik dengan syarat memastikan keamanan negara tidak tergugat.

"Kita sanjung semangat untuk meraikan perbezaan pendapat dan hak asasi untuk bersuara dan berhimpun. Bagaimanapun, kita tidak bersetuju dengan sebarang bentuk perbalahan, provokasi dan permainan sentimen bangsa dan agama, seperti yang berlaku dalam proses penganjuran kedua-dua demonstrasi, baik di pihak Bersih mahupun Baju Merah.

"Percayalah, tindakan tidak bertanggungjawab ini sedang diperhati dan diikuti rapat oleh generasi muda negara yang majoritinya mahukan negara ini terus aman damai dan sebarang proses demokrasi dilaksanakan dengan matang dan berhemah," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Rabu.

Mohd Ali mengulas mengenai Perhimpunan Bersih 5 akan diadakan pada 19 Nov ini.

Bersih 5 menuntut lima perkara dilaksanakan, antaranya mengadakan pilihan raya yang bersih, kerajaan yang bersih, mengukuhkan demokrasi berparlimen, hak membantah, dan memperkasa Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, Penganjur Perhimpunan Baju Merah, Datuk Jamal Md Yunos juga menjangkakan akan mengadakan perhimpunan pada waktu dan tarikh yang sama.

Dalam pada itu kata Ali, pihaknya juga telah melancarkan program ‘ Bersama, Demi Malaysia’ yang bertujuan untuk mempromosi semangat kesatuan rakyat sejak 1 Nov lepas.

"Ia medium yang merentasi perbezaan pendapat, buah fikiran dan ideologi politik. Antara program yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk penyebaran risalah dan 'Surat Terbuka WeMalaysia' ke seluruh dunia.

"Ini termasuk kepada 82 ketua-ketua perwakilan Malaysia luar negara selain meminta ketua-ketua perwakilan Malaysia memanjangkan mesej-mesej perpaduan dan kesatuan yang terkandung di dalam surat itu ke semua komuniti Malaysia di negara masing-masing.

"Setakat ini, kita menerima maklum balas yang amat memberangsangkan. Ini menunjukkan bahawa kempen WeMalaysia ini menerima sokongan dari khalayak ramai," ujarnya.

Selain itu tegasnya, pihaknya melalui laman media sosial juga telah berkongsi puluhan poster dan video dengan menggunakan tagline 'sama ada anda sokong Kuning atau Merah, kita semua adalah rakyat Malaysia’ yang mula diviralkan bermula 1 Nov lepas 2016.

Katanya, hashtag yang digunakan adalah #GengBajuMerah ,#GengBajuKuning, #KitaSemuaRakyatMalaysia, #KitaSayangMalaysia #DemiMalaysia selain hashtag sedia ada iaitu #WeMalaysia dan #ForMalaysia.

"Kempen ini akan terus diviralkan di laman media sosial WeMalaysia selain meminta rakyat bersama-sama dalam usaha kecil ini.
"Ketepikan sentimen kebencian dan raikanlah demokrasi dengan matang, penuh ‘civility’ dan ‘forward thinking’ demi masa depan negara," katanya.

WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara. Sehingga kini, WeMalaysia mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK). - Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA