Gempa Susulan Landa New Zealand



Wellington: Gempa bumi susulan kuat melanda New Zealand termasuk sekuat 6.2 magnitud di Pulau Selatannya, beberapa jam selepas gegaran kuat menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang terbunuh selain mencetuskan tsunami.

Pasukan kecemasan menaiki helikopter ke kawasan yang menjadi pusat asal gempa 7.8 magnitud yang melanda sejurus selepas tengah malam semalam, kira-kira 91 kilometer di timur laut Christchurch.

Gegaran 6.2 magnitud itu dicatatkan kira-kira jam 1.45 petang (waktu tempatan) dan yang paling kuat daripada beberapa gempa susulan di negara Pasifik Selatan itu.


Christchurch, bandar terbesar di New Zealand masih belum pulih daripada gempa bumi pada 2011 dengan magnitud 6.3 yang mengorbankan 185 orang.

Semalam, talian elektrik dan komunikasi terputus, sementara jalan raya rosak teruk.

Sementara itu, Perdana Menteri John Key dalam sidang media dari bilik bawah tanah di Parlimen mengaku kos pembaikpulihan akan menelan belanja tinggi terutama untuk memperbaiki jalan serta infrastruktur.

Amaran tsunami dikeluarkan susulan gempa bumi itu dan Wellington serta Christchurch dibadai ombak besar. Namun, tiada lagi amaran tsunami selepas gempa susulan berukuran 6.2 magnitud semalam. - Reuters

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA