Garis Panduan, Dasar Baharu Tangani Isu Kemampuan Perumahan



KUCHING: Kerajaan negeri melalui Unit Perancang Negeri (SPA) kini memperkenalkan garis panduan dan dasar baharu pada tahun ini untuk menangani isu kemampuan perumahan semasa dan mengenakan beberapa bentuk kawalan ke atas harga rumah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata dasar baharu ini adalah untuk meningkatkan bekalan rumah mampu milik serta memenuhi keperluan perumahan untuk bukan sahaja kumpulan berpendapatan rendah tetapi juga berpendapatan sederhana.

Selain itu, katanya adalah untuk meningkatkan spesifikasi minimum unit rumah kos rendah sebelum ini ke arah memenuhi jangkaan dan keperluan pembeli rumah yang lebih tinggi.

“Di bawah dasar ini, pemaju perumahan swasta dikehendaki membina rumah mampu milik sehingga 30 peratus daripada jumlah yang dibangunkan, terutama rumah teres jika keluasan tanah yang dimajukan adalah 10 ekar ke atas.

“Rumah mampu milik adalah dibahagikan kepada dua kategori iaitu Skim Perumahan Khas Rakyat (SPEKTRA) Lite dan Medium,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Perumahan dan Urbanisasi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi menambah, dasar baharu ini juga telah menghapuskan istilah rumah kos rendah kerana ia menimbulkan stigma negatif di kalangan orang ramai.

Menjelas lanjut, beliau berkata ciri-ciri utama dasar baharu ini adalah rumah teres SPEKTRA Lite harus berharga tidak melebihi RM100,000 bagi lot tengah dan tidak melebihi RM120,000 bagi lot tepi manakala SPEKTRA Medium tidak melebihi RM135,000 bagi lot tengah dan tidak melebihi RM168,000 bagi lot tepi.

“Unit perumahan ini harus dijual kepada individu seperti yang diluluskan oleh Kementerian Perumahan dan Urbanisasi untuk memastikan penjualan rumah sedemikian dikawal dan dikuatkuasakan dengan betul bagi mengelak penyalahgunaan kuasa dan peruntukan,” katanya.

Beliau menambah, saiz unit perumahan juga telah diperbesarkan daripada saiz minimum asal 444 kaki persegi di bawah dasar perumahan kos rendah lama kepada minimum 700 kaki persegi, menjadikan unit perumahan baharu ini lebih luas, selesa dan kondusif yang merangkumi tiga bilik tidur berbanding dua bilik seperti sebelum ini.

Katanya pemaju swasta yang bercadang memajukan tanah untuk membina flat, pangsapuri, kondominium atau rumah bandar juga perlu membina peratusan tertentu daripada projek mereka untuk membina rumah mampu milik jika keluasan tanah yang dimajukan adalah empat ekar dan ke atas.

Pada masa sama, beliau berkata flat mampu milik juga mesti diletakkan harga tidak melebihi RM120,000 seunit dengan kawasan lantai minimum 700 kaki persegi.

Sementara itu, Abang Johari menyatakan bahawa kerajaan negeri juga telah meminda kepadatan bagi pembangunan perumahan di empat bandar utama iaitu Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu untuk memastikan penggunaan tanah yang lebih optimum dan mengimbangi kekurangannya di pusat bandar yang telah menyebabkan kenaikan harga tanah.

“Kepadatan baharu bagi rumah biasa adalah 10 unit seekar berbanding lapan unit seekar sebelum ini manakala bagi flat, pangsapuri, kondominium dan rumah bandar, ia adalah 30 unit seekar berbanding 24 unit seekar di bawah dasar lama.

“Peningkatan kepadatan akan membolehkan lebih banyak unit perumahan mampu milik dibina dan pada masa sama, membantu mengurangkan kenaikan harga rumah yang tidak wajar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga telah merangka kriteria kelayakan bagi pemilikan rumah SPEKTRA untuk memastikan mereka yang dapat memohon adalah pembeli rumah yang berhak dan layak di kalangan kumpulan berpendapatan rendah hingga sederhana selain membantu mencegah spekulasi hartanah.

Jelas beliau bagi SPEKTRA Lite dengan harga maksimum antara RM100,000 hingga RM120,000 seunit, mereka yang layak memohon adalah yang mempunyai pendapatan kasar bulanan seisi rumah sebanyak RM4,000 ke bawah manakala mereka yang berminat membeli SPEKTRA Medium dengan harga antara RM135,000 hingga RM168,000 seunit harus mempunyai pendapatan kadar bulanan seisi rumah sebanyak RM5,000 ke bawah.

Malah, katanya pemilik rumah kos rendah sekarang juga dibenarkan membeli SPEKTRA Medium jika mereka berhasrat untuk memiliki sebuah unit yang lebih baik dan besar dengan syarat mereka memenuhi kriteria kelayakan SPEKTRA. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA