Futsal AFF Ditunda Ke Januari Depan – Azzuddin


KUALA LUMPUR: Kejohanan Futsal Persatuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2016 yang sepatutnya berlangsung di Bangkok, Thailand, Isnin lepas tidak dibatalkan tetapi ditunda ke minggu ketiga Januari tahun hadapan.

Ini disahkan Setiausaha Agung AFF, Datuk Seri Azzudin Ahmad yang menegaskan kejohanan itu tetap akan dilangsungkan.

“Gelanggang pertandingan masih sama iaitu di Bangkok. Tarikh sebenar kita belum putuskan, cuma yang pasti ia akan bermula pada minggu ketiga Januari depan,” katanya.

Sebelum ini, kejohanan itu dikatakan telah dibatalkan berikutan kemangkatan Raja Thailand, Raja Bhumibol Aduyadej pada 13 Okt lepas yang menyaksikan Thailand dalam suasana berkabung dan menghentikan segala bentuk hiburan dalam tempoh sebulan.

Sementara itu, jurulatih negara, Chiew Chun Yong lega selepas mengetahui kejohanan tersebut akan tetap diadakan biarpun terpaksa ditunda ke tahun hadapan.

“Kita akan memanggil semula semua pemain selewat-lewatnya awal Disember ini untuk menjalani latihan serta mengembalikan tahap kecergasan mereka.

“Sebagai persiapan, skuad kebangsaan akan bertolak seminggu lebih awal ke Thailand bagi mengatur beberapa perlawanan persahabatan di sana,” katanya.

Chun Yong kembali bersemangat untuk membawa cabaran negara ke kejohanan itu dan menurutnya, semua pemain sangat teruja untuk mewakili negara dan akan memberikan yang terbaik dalam kejohanan itu.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan itu ialah muncul naib juara pada edisi 2003, 2005 dan 2010. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA