Fesyen 'Luar Biasa' Pemimpin APEC


LIMA (Peru): Sejak lebih dua dekad lamanya, sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dikenali dan kerap diingati atas keunikan sesi bergambar 21 pemimpinnya mengenakan pakaian kebangsaan negara tuan rumah.

Sebagai contoh, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton, bergambar bersama Presiden Suharto memakai kemeja batik Indonesia pada 1994.

Pada APEC 1997 di Kanada, Presiden China, Jiang Zemin dan pemimpin lain bergambar dengan memakai jaket kulit manakala sidang kemuncak di Korea Selatan pada 2005 diakhiri dengan sesi bergambar yang mana Tun Abdullah Ahmad Badawi bersama pemimpin negara anggota lain berpakaian hanbok.

Pastinya ramai mengingati 'kemeja nanas' iaitu kemeja agak jarang diperbuat daripada campuran gentian nanas dan sutera untuk dijadikan barong Tagalog, yang dipakai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bersama barisan pemimpin APEC di Manila tahun lalu.

Tahun ini, Najib dan pemimpin lain menghormati layanan mesra Peru dengan memakai hamparan mirip selendang diperbuat daripada gentian bulu alpaka, sejenis ternakan seperti Llama tetapi lebih kecil dan mempunyai bulu lebih berkualiti.

Pasaran fabrik dunia mula memberi perhatian terhadap gentian bulu alpaka yang kini banyak digunakan oleh jenama pakaian antarabangsa seperti Kuna.

Peru menguasai 90 peratus daripada ternakan alpaka dunia, yang terdapat banyak di negara Amerika Selatan.

Hidup di kawasan pergunungan Andes iaitu lebih 3,000 meter dari paras laut, bulu alpaka ternyata lebih panjang, terang dan kenyal berbanding bulu biri-biri, sekali gus menjadikannya pilihan dalam kalangan pengguna. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA