Felcra Mampu Menjadi Pemangkin Kemajuan Negara - Bung Mokhtar


KUCHING: Sejak ditubuhkan pada 1 April 1966, Felcra Berhad yang dahulunya dikenali sebagai Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara terus melakar sejarah dan memahat pelbagai kejayaan cemerlang.

Pengerusi Felcra Berhad, Dato’ Sri Bung Mokhtar Radin berkata, sumbangan dan peranan yang dimainkan oleh Felcra Berhad sejak 50 tahun lalu dapat dilihat dengan jelas menerusi pelbagai transformasi pembangunan luar bandar yang dilaksanakan.

"Pada era 60-an, Felcra telah diamanah untuk membangun dan memulihkan tanah terbiar hanya di empat kawasan rancangan seluar 4,265 hektar dengan 547 orang peserta,"

“Kini, Felcra Berhad telah berjaya membangunkan kawasan seluar 260,000 hektar yang melibatkan 1,645 buah projek di seluruh negara dengan 110,420 orang peserta,"

“Felcra Berhad juga telah berjaya melaksanakan misi mentransformasikan kawasan terpencil di seluruh negara hingga menjadi kawasan yang maju, berdaya saing dan diurus dengan begitu sistematik sekali,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Sambutan 50 Tahun Felcra Peringkat Wilayah Sarawak di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, sejak tahun 1997 hingga 2015, Felcra Berhad telah mengagihkan lebih RM5.9 bilion dividen kepada 110.420 orang peserta.

“Felcra Berhad di Sarawak pula meliputi kawasan ladang seluas 55,005.95 hektar. Ia merangkumi kawasan seluas 39,958.79 hektar yang membabitkan 114 buah projek yang melibatkan 92 buah projek pemulihan dan penyatuan (P&P),"

Katanya, beliau yakin dan percaya, selepas 50 tahun Felcra Berhad pasti akan terus cekal, kekal dan relevan dalam mengharungi cabaran arus perdana pembangunan nasional dan global.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang Anugerah Tokoh Peserta Terbilang bagi Negeri Sarawak 2016 yang telah dimenangi oleh Encik Sili anak Bunsi yang membawa pulang hadiah serta cek bernilai RM5,000 daripada Felcra Berhad Kawasan Asajaya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Douglas Uggah Embas dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi. - Sarawakiana



No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA