FDI Ambil Kira Kepentingan Negara - Ahmad Zahid

Image result for zahid hamidi
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Proses membawa masuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke negara ini sentiasa dilakukan dengan mengambil kira kepentingan dan kedaulatan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, beliau berkata soal bahawa ia boleh menjejaskan kedaulatan negara sepatutnya tidak timbul.

"Apa yang dilakukan (dalam hal kemasukan FDI) ialah amalan lazim oleh mana-mana negara yang perlukan FDI dari negara luar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilapor sebuah portal berita tempatan semalam, bahawa beberapa perjanjian dimeterai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan China mungkin mampu menggugat kedaulatan Malaysia.

Dr Mahathir turut dilapor berkata bahawa perjanjian yang dimeterai itu akan menghantar isyarat salah kepada China mengenai pertikaian antara kedua-dua negara di Laut China Selatan.

Timbalan perdana menteri berkata soal mengenai tuntutan di Laut China Selatan adalah berkaitan sejarah dan perlu diasingkan dalam memuktamadkan FDI.

Katanya pelaburan dari negara Tembok Besar itu memberi keuntungan dari segi pulangan dan pertumbuhan negara, justeru segala tafsiran yang dinyatakan Dr Mahathir perlu diketepikan.

"Apa yang berlaku dalam mana-mana proses FDI di mana-mana negara pun termasuk di masa beliau (Dr Mahathir) sendiri, faktor-faktor kedaulatan sentiasa menjadi keutamaan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA