Fazzrudin Rancang 'Youth Park' Di DUN Tupong


KUCHING: Selepas kejayaan mewujudkan Pasar Malam Belia N6 Metrocity, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman merancang untuk mewujudkan 'Youth Park' atau Taman Belia di Metrocity Matang.

Taman tersebut bakal dilengkapi dengan skate park, trek joging, taman rekreasi dan taman paintball.

Menurutnya, buat masa sekarang perkara tersebut dalam proses perbincangan dengan pihak pengurusan Metrocity membabitkan pengenalan tapak yang boleh mereka sewakan.

Beliau berkata, pengurusan Metrocity turut membantu dalam membuat rekaan taman tersebut.

"Saya merancang untuk mewujudkan 'Youth Park' di Metrocity. Ianya dapat memberi pilihan tempat rekreasi untuk keluarga dan masyarakat setempat.

"Disamping itu, ianya (taman belia) dapat membantu meningkatkan kehadiran pengunjung ke pasar malam belia di kawasan itu," katanya.

Selepas proses perbincangan selesai jelasnya, barulah peruntukan kewangan dicari dan projek tersebut mungkin dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

"Tempat itu nanti juga akan dijadikan pusat penyebaran maklumat tentang inisiatif kerajaan yang dapat membantu belia dalam pelbagai bidang," ujarnya.-Sarawakiana.


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA