FAMA Sedia Pasarkan Minyak Masak


KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersedia memasarkan minyak masak kepada pengguna melalui rangkaian peruncitannya di seluruh negara sekiranya masalah kekurangan bekalan bahan itu masih berterusan.

Pengerusinya, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata ini bagi memastikan rakyat termasuk peniaga tidak mempunyai masalah mendapatkan bekalan minyak masak.

"Dahulu ketika terjadi krisis bekalan gula, kerajaan pernah salurkan stok gula untuk kita jual di pelbagai rangkaian niaga kita termasuk di pasar tani dan sebagainya.

"Jika sekarang masalah bekalan minyak masak dalam pasaran berterusan, FAMA bersedia memasarkan dan mengedarkan minyak masak jika kerajaan rasa kita patut bertindak demikian," katanya ketika menutup program 'MyBest Buy' di Dewan Undangan Negeri Kuang, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata FAMA Negeri Melaka telah mula memasarkan minyak masak di beberapa pasar tani negeri itu semalam dan sambutan rakyat amat menggalakkan.

Badruddin berkata FAMA mampu menjual minyak masak dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran kerana agensi itu mendapat harga terus dari kilang.

Beberapa lokasi seluruh negara dilaporkan mengalami kekurangan minyak masak dipercayai disorok setelah kerajaan mengumumkan penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak mulai 1 Nov lalu.

Sementara itu, Badruddin berkata sehingga 31 Okt lalu FAMA telah membuka 81 lokasi program 'MyBest Buy' di seluruh negara termasuk 20 di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ia merupakan platform memasarkan pelbagai barangan keperluan segar pada harga lima hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran bagi membantu penduduk menangani kenaikan kos sara hidup.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA