Esscom Patahkan Cubaan Culik Di Sabah


KOTA KINABALU: Pasukan keselamatan Malaysia dipercayai menggagalkan penculikan atau rompakan terhadap kru kapal tunda di perairan Pulau Berhala, dekat sempadan Malaysia dengan Filipina.

Dipercayai tindak balas segera pasukan keselamatan di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menyebabkan penceroboh melarikan diri sebelum mencapai sasaran mereka dalam insiden pada kira-kira pukul 6.30 petang Isnin.

Kesemua kru di kapal tunda selamat, dan difahamkan tindak balas segera susulan seorang kru yang bersembunyi di bot menghantar panggilan amaran kepada pusat arahan Esscom.

Komander Esscom, Datuk Wan Bari Wan Abdul Khalid berkata, seorang anggota kru di kapal tunda menghubungi Esscom selepas melihat sebuah kapal yang mencurigakan menghampiri mereka.

"Pasukan keselamatan dari pelbagai agensi bergerak dan memintas suspek yang melarikan diri," katanya ketika dihubungi.

Kapal tunda berkenaan menghala ke Tawan dari Sandakan.

Tambah Wan Bari, pasukan keselamatan sedang memburu suspek, dan memberitahu bahawa pegawai Esscom mengiringi kapal tunda, pulang ke Sandakan.

"Kita berharap akan mendapat lebih banyak maklumat mengenai hal ini sebaik sahaja mereka tiba," katanya sambil menambah bahawa laporan rasmi akan dibuat selepas kapal tunda kembali ke Sandakan.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA