Enggan Sokong Bajet 2017 Bukti Pembangkang Tidak Hiraukan Kebajikan Rakyat


KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat semalam meluluskan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 atau Bajet 2017 selepas mendapat 117 undian daripada pihak kerajaan, berbanding 70 undian kepada pembangkang sekaligus membuktikan bahawa pembangkang enggan bersetuju dengan peruntukan yang dilaksanakan kerajaan bagi tujuan kebajikan rakyat.

Menurut Speaker Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mempengerusikan persidangan tersebut, terdapat 11 orang ahli parlimen yang terdiri daripada ahli-ahli parlimen PAS mengambil sikap lepas tangan dengan tidak mengundi mana-mana pihak.

Bagaimanapun, difahamkan hanya Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang didapati mengundi, dan beliau memilih untuk bersama ahli-ahli pembangkang lain.

Sikap pembangkang yang enggan menyokong pembentangan bajet 2017 tersebut merupakan salah satu bentuk pengkhianatan kepada sistem Parlimen serta kepada rakyat yang mengundi golongan ini sebagai wakil mereka untuk duduk di Dewan Rakyat dan membentuk dasar-dasar yang mampu mensejahterakan rakyat.

Dilaporkan, pembangkang menuntut undian belah bahagi selepas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani selesai menggulung perbahasan kira-kira jam 10.10 malam, di mana ia menjadi amalan buat mereka saban tahun bagi menolak bajet yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Meskipun pembentangan belanjawan kali ini diuji dengan pelbagai insiden kebiadapan ahli parlimen pembangkang termasuk tindakan keluar dewan semasa sesi pembentangan bajet masih belum selesai, namun ia ternyata umpama ‘mencurahkan air ke daun keladi’ apabila belanjawan ini akhirnya dipersetujui.

Untuk rekod, Bajet 2017 yang dibentang oleh Perdana Menteri pada 21 Oktober lalu dibahaskan selama enam hari bermula 24 Oktober lalu oleh ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, manakala tiga hari diperuntukkan kepada 25 kementerian bagi penggulungan yang berakhir hari ini.

Mengikut pemerhatian, pada perbahasan bajet kali ini, puak pembangkang seperti biasa terus menyerang kerajaan dengan isu berkaitan syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disamping mengungkit tindakan saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) meskipun sudah dilarang oleh Speaker memandangkan ia bersifat ‘subjudis’ kerana masih dalam pertimbangan mahkamah.

Dalam pada itu, Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan pada 21 Oktober lalu membentangkan bajet dengan tema ‘Merancakkan Pertumbuhan, Memastikan Pengurusan Fiskal Berhemat, Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat,’ yang menyenaraikan beberapa langkah dalam usaha menangani cabaran ekonomi negara berikutan ketidaktentuan di peringkat global.

Terdahulu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM260.8 bilion pada Bajet 2017 kali ini di mana terdapat peningkatan 3.4 peratus daripada pengubahsuaian Bajet 2016.

Daripada jumlah tersebut, RM214.8 bilion adalah Perbelanjaan Mengurus dan RM46 bilion untuk Perbelanjaan Pembangunan. Ini tidak termasuk simpanan luar jangka sebanyak RM2 bilion.

Di bawah Peruntukan Mengurus, RM77.4 bilion adalah untuk Emolumen, serta RM32 bilion untuk Perkhidmatan dan Bekalan.

Manakala, RM103.9 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Pembelian Aset pula, diperuntukkan RM691 juta, dan RM816.6 juta lagi, untuk perbelanjaan lain.

Sementara itu, bagi Peruntukan Pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak RM25.9 bilion, diikuti oleh sektor sosial RM12.2 bilion. Sektor keselamatan mendapat RM5.3 bilion, dan sektor pentadbiran am lebih RM2.5 bilion.

Diunjurkan, berdasarkan prestasi semasa, hasil 2017 dijangka berkembang sekitar tiga peratus iaitu kepada RM219.7 bilion dan sasaran kerajaan untuk defisit fiskal adalah tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017. - klxpress

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA