Empat lLagu Ajai Dalam Separuh Akhir Muzik-Muzik 31



KUALA LUMPUR: Komposer terkenal, Ajai, menzahirkan rasa gembira apabila empat karya ciptaannya berada dalam senarai lagu yang berjaya melangkah ke separuh akhir Muzik-Muzik ke-31.

Beliau berkata, pencapaian itu menjadi justifikasi lagu ciptaannya selari dengan evolusi muzik hari ini.

"Syukur saya ucapkan kerana saya masih mendapat tempat untuk bersaing di pentas berprestij yang mengangkat karya muzik tempatan.

"Saya juga gembira kerana dapat bersaing dengan bakat-bakat baharu yang kreatif dalam ciptaan mereka," katanya kepada BH Online.

Empat lagu ciptaan Ajai yang bersaing kali ini ialah Terimaku Seadanya nyanyian duet Hafiz Suip dan Misha Omar, Di Amaran Mama (Hazama), Seperti Novel Cinta (Shiha) dan Cinta Sukar Ditafsirkan (Mal Imran).

Ajai yang sudah tidak asing dalam persaingan Anugerah Juara Lagu (AJL), termasuk pernah memenangi hadiah utama menerusi lagu Keliru pada 2002, turut mengalu-alukan kehadiran komposer muda dan baharu dalam pertandingan berkenaan.

Beliau berkata, mereka turut menghasilkan karya yang mampu mewarnai dunia hiburan tanah air selain memberikan pelbagai pilihan kepada penggemar muzik tempatan.

"Seperti saya katakan tadi, saya seronok kerana dapat bersaing dengan mereka secara sihat dan sama-sama berusaha menghasilkan muzik dan lagu untuk pendengar.

"Bagi saya, penghasilan muzik tidak pernah terhad, malah sangat meluas dan mengikut cita rasa pendengar yang pelbagai. Jadi sebagai komposer, kita bukan saja perlu mengikut arus, tetapi kekalkan identiti dalam berkarya," kata pemilik nama sebenar Mohd Faizal Maas itu.

Pernah layak sebanyak 17 kali dalam pertandingan itu, Ajai yang cemerlang menerusi lagu seperti Kau Kekasihku nyanyian Datuk Siti Nurhaliza, Pulangkan (Misha), Keliru (duet bersama Nurul), Noktah Cinta, Ku Akui dan Matahari (semuanya nyanyian Hafiz) berkata, beliau tidak mahu terlalu mengharap pada persaingan yang bermula malam ini.

Beliau berkata, setiap lagu yang bertanding mempunyai kelebihan masing-masing dan berpeluang untuk mara ke AJL. Mengenai karyanya yang menjadi pilihan, Ajai tertawa dan mengakui menyimpan harapan terhadap semua lagu ciptaannya yang bertanding.

"Saya percaya dan berbangga dengan semua lagu ciptaan saya. Bagi saya, semuanya bergantung kepada rezeki. Kalau ada, saya terima dengan hati terbuka," katanya.

Persaingan peringkat separuh akhir Muzik Muzik 31 bermula malam ini, dengan 17 karya akan dipersembahkan pada minggu pertama, bertempat di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Tiga belas lagu selebihnya akan berentap pada 11 November, juga di tempat sama. Rancangan berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi TV3, mulai 9 malam.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA