Elak Dasar Bodoh, DAP Cadang 500 Juta Bina Sekolah Sarawak

KUCHING: Sesuai dengan pendapat kerajaan negeri Sarawak yang menyifatkan Dasar Pendidikan Nasional yang digunapakai selama ini adalah suatu yang bodoh, justeru untuk tidak lagi terikat dengan dasar bodoh itu, Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak mengambil langkah awal dengan mencadangkan agar kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM500 juta untuk membina sekolah persendirian yang sesuai dengan negeri ini.

Menurut DAP Sarawak, sekolah-sekolah tersebut akan menyediakan pendidikan percuma untuk rakyat negeri ini dengan sepenuhnya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

“Anak-anak kita perlu dipersiapkan untuk menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa yang paling banyak digunakan di dunia, supaya mereka boleh bersaing di peringkat global terutamanya dalam teknologi industri intensif.

“Penubuhan sekolah-sekolah juga akan mengukuhkan penurunan kuasa dalam pendidikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak,” katanya

DAP berkata demikian menerusi kenyataan 10 resolusi yang telah dicapai parti itu sempena Konvensyen yang ke 18 di Sibu pada 30 Oktober lalu.

Sehubungan itu, DAP menyeru agar Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem melaksanakan cadangan tersebut dalam masa 6 bulan berkuatkuasa 1 November 2016, memandangkan perkara tersebut adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

Terdahulu, Ketua Menteri berkali-kali dalam beberapa acara rasmi mencela Dasar Pendidikan Nasional dengan melabelkannya sebagai suatu dasar yang bodoh, dan beliau bertekad untuk menggunakan dasar yang berbeza sesuai dengan kehendak rakyat negeri ini. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA