Eksport Produk Tani Malaysia Ke EU Meningkat Setelah Pengeluar Penuhi Peraturan

ROTTERDAM (Netherlands): Permintaan produk pertanian Malaysia di negara Kesatuan Eropah (EU) semakin meningkat setelah pengeluarnya berjaya memenuhi peraturan yang ditetapkan.

Kaunselor Pertanian Pejabat Perwakilan Pertanian Malaysia di The Hague (PPP The Hague) Mohd Yusmizam Yahya berkata EU menetapkan peraturan yang ketat, namun pengeluar produk pertanian Malaysia telah memenuhi peraturan tersebut.

"Ini boleh dilihat berdasarkan permintaan dan eksport semasa produk Malaysia ke Eropah," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Beliau ditemui pada hari terakhir 'Minggu Malaysia', program promosi produk pertanian Malaysia di pasar raya Asia, Wah Nam Hong di Markthal di sini.

Program di Rotterdam, bandar pelabuhan yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Amsterdam, merupakan siri terakhir promosi di Eropah bagi 2016 anjuran PPP The Hague.

Mohd Yusmizam berkata buah-buahan Malaysia diterima untuk dipasarkan di pasar raya besar di Eropah setelah memenuhi pensijilan antarabangsa amalan pertanian baik, Global GAP serta memiliki kelebihan dari segi kualiti.

Beliau berkata pada 2015, eksport buah-buahan Malaysia ke Eropah bernilai RM43.41 juta berbanding RM41.38 juta pada tahun sebelumnya.

Antara buah-buahan Malaysia yang menjadi pilihan di Eropah ialah belimbing, nangka dan manggis.

"Semua pengeluar maklum mengenai kos pensijilan, namun kita terpaksa akur dan terpaksa mencari pasaran antarabangsa. Ini kerana pasaran domestik terhad," katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz Sakiman, Pengarah DRS Trading Sdn Bhd, pengeksport buah-buahan tropika, melihat potensi besar eksport buah-buahan Malaysia di pasaran luar negara.

Permintaan buah-buahan eksotik Malaysia, katanya, sentiasa ada dan meningkat, terutama menjelang musim perayaan seperti Krismas, dan setakat ini syarikatnya menerima tempahan yang banyak bagi belimbing dan nangka.

Tahun lepas syarikat itu, yang mengambil bahagian pada promosi berkenaan, mengeksport kira-kira 366 tan metrik buah-buahan, dengan 60 peratus untuk pasaran Eropah dan 40 peratus lagi Asia Barat, katanya.

Promosi di empat negara Eropah tahun ini bermula di Malmo, Sweden, diikuti di Helsinki, Finland dan di Bucharest, Romania sebelum ke Netherlands yang bermula 31 Okt. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA