Ekonomi Negara Masih Berrdaya Tahan - BNM



Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.0 atau 4.5 peratus tahun ini, disokong oleh permintaan dalam negeri, khususnya aktiviti sektor swasta.

Bank Negara Malaysia berkata, penggunaan swasta akan terus disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga, dengan dorongan tambahan daripada langkah-langkah yang diumumkan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna.

Menurutnya, aktiviti pelaburan akan terus disokong terutamanya oleh pelaksanaan projek-projek infrastruktur secara berterusan serta perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Dalam sektor luaran, pertumbuhan eksport dijangka kekal lemah berikutan permintaan yang lembap daripada rakan perdagangan utama Malaysia.

"Meskipun keadaan dalam negeri kekal berdaya tahan, ketidakpastian dalam persekitaran luar boleh meningkatkan risiko prospek pertumbuhan menjadi lebih perlahan di Malaysia," katanya.

Keadaan ekonomi global secara keseluruhan juga dijangka terus menghadapi prospek pertumbuhan yang perlahan meskipun keadaan monetari dalam ekonomi utama dan serantau lebih longgar daripada kebiasaan.

Kadar pertumbuhan ekonomi maju dijangka kekal sederhana manakala di Asia, permintaan dalam negeri akan terus menyokong pertumbuhan.

Risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan masih tinggi disebabkan ketidakpastian pengaturan masa dan hasil rundingan antara United Kingdom dengan Kesatuan Eropah, susulan referendum.

Harga tenaga dan komoditi yang kekal rendah serta kemungkinan keadaan pasaran yang tidak teratur berikutan peralihan dasar dalam ekonomi utama.

Berdasarkan keadaan ini, keadaan pasaran kewangan antarabangsa dijangka terus dipengaruhi oleh gangguan dan perubahan sentimen. - MalaysiaGazette

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA