#DUNSarawak: Wujudkan Warden Trafik Di Matang


KUCHING: Fazruddin Abdul Rahman (BN-Tupong) memohon kerajaan supaya mewujudkan jawatan warden trafik di Majlis Perbandaran Padawan (MPP) untuk mengurus kesesakan lalulintas di kawasan Matang.

Beliau berkata, warden trafik perlu diwujudkan segera di kawasan tersebut sementara menunggu laluan bawah tanah di bulatan Abang Kipali selain Jalan Emart dan jambatan ke Sungai Maong siap.

"Harapan saya apabila siap kelak ianya akan dapat mengurangkan kesesakan lalulintas di Jalan Matang.

"Walaubagaimanapun sementara menunggu siapnya pembinaan terbabit, saya ingin memohon agar kerajaan dapat mewujudkan jawatan warden trafik di MPP untuk membantu mengurus kesesakan lalulintas seperti dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2017), 2016 dan Usul Untuk Merujuk Resolusi Anggaran Pembangunan Bagi Perbelanjaan 2017.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berharap agar projek pembesaran jalan dari Matang Jaya ke simpang Taman Malihah dapat dilaksanakan.

Menurutnya lagi, projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) juga perlu diberi perhatian terutama di Kampung Sejijak, Kampung Paroh dan beberapa permohonan dari kampung lain.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA