#DUNSarawak: Tabika KEMAS DUN Kedup Menumpang


KUCHING: Kebanyakan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) KEMAS di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup masih menumpang dan tidak memiliki bangunan sendiri.

Martin Ben (BN-Kedup) berkata, tabika tersebut rata-rata masih menumpang balai raya, bilik gerakan atau menyewa rumah rumah orang persendirian.

Menurutnya, keadaan itu amat tidak sesuai memandangkan proses pembelajaran dan keupayaan emosi, sosial, fizikal serta pembangunan kognitif kanak sukar dijalankan secara berkesan kerana keadaan tidak kondusif.

"Dalam usaha kita untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, saya ingin mencadangkan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat untuk meningkatkan kemudahan tabika di kawasan saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2017), 2016 dan Usul Untuk Merujuk Resolusi Anggaran Pembangunan Bagi Perbelanjaan 2017.

Martin bagaimanapun melahirkan rasa bersykur kerana terdapat 12 buah kelas tabika Kemas dengan 133 tenaga dan 166 kanak-kanak di DUN Kedup.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mencadangkan supaya Jabatan Pendidikan mewujudkan sekolah berpusat di DUN Kedup untuk mengatasi sekolah kurang murid yang dilihat merugikan dari segi agihan peruntukan.

"Mengikut data enrolmen 2017, enrolmen paling kecil adalah SK Sumpas dengan 26 orang dan SK Pridan (90 pelajar) bagi sesi 2017.

"Secara keseluruhannya terdapat sembilan sekolah dikategorikan sebagai sekolah kurang murid di DUN Kedup," ujarnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA