#DUNSarawak: SETP Bantu Pacu Ekonomi Negeri


KUCHING: Beberapa pendekatan akan diambil kerajaan negeri dalam usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri untuk memastikan Sarawak mencapai negeri berpendapatan tinggi dan negeri maju menjelang 2030.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, untuk mencapai visi tersebut, Pelan Transformasi Sosio Ekonomi (SETP) diwujudkan untuk memacu pertumbuhan pendapatan dan mengurangkan perbezaan pendapatan antara rakyat.

Malah menurutnya, ekonomi negeri ini juga perlu berkembang 6.5 peratus setiap tahun untuk mencapai visi tersebut.

"Pertumbuhan ekonomi kita pada 2015 pada kadar 3.7 peratus dan dijangka berkembang antara 3.5 ke 4 peratus 2016," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ekonomi dunia yang dijangka pulih pada 2017 bakal menyaksikan ekonomi negeri berkembang antara 4.0 hingga 4.5 peratus.

"Kelembapan perkembangan ekonomi menuntut pelarasan polisi ekonomi kita termasuk strategi kerajaan dan perbelanjaan," ujarnya.

Adenan turut berharap SETP dapat menyokong inisiatif transformasi untuk mendorong pertumbuhan ekonomi berada pada landasan tepat.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA