#DUNSarawak: Sarikei Perlu Pelabuhan Komersial Baharu


KUCHING: Pelabuhan baharu perlu dibina di Sarikei memandangkan pelabuhan komersial sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah logistik yang semakin bertambah.

(BN-Repok) Dato' Sri Huang Tiong Sii berkata, kesesakan jalan raya juga sering berlaku disebabkan pelabuhan tersebut terletak di kawasan bandar.

Menurutnya, pembinaan baharu pelabuhan dijangka menelan belanja antara RM4 juta hingga RM5 juta.

"Pelabuhan komersial yang sedia ada di Sarikei terletak di kawasan bandar yang sibuk dan menyebabkan kesesakan jalan kepada pengguna.

"Selain itu, ia juga tidak lagi dapat menampung jumlah logistik yang semakin bertambah," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2017),2016 dan Usul Untuk Merujuk Resolusi Anggaran Pembangunan Bagi Perbelanjaan 2017.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pembinaan pelabuhan baharu itu kerana tapak sudah dikenalpasti.

Mengulas mengenai jalan perhubungan desa, Huang menjelaskan, terdapat banyak kawasan kampung dan rumah panjang masih tiada jalan perhubungan.

"Kalau adapun masih serba kekurangan. Daripada lawatan yang saya lakukan sebelum ini, terdapat sekitar 80km yang belum dihubungkan dengan jalan perhubungan desa yang memakan kos sejumlah RM12 juta," ujarnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA