#DUNSarawak: RUU355 Tiada Kaitan Dengan Hudud - Dr Juanda


KUCHING: Masyarakat Islam seharusnya memahami bahawa Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan)) 2016 atau RUU355 tidak berkaitan dengan hukum hudud.

Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut memaklumkan semalam dakwaan pembangkang tentang undang-undang hudud ternyata palsu dan fantasi.

Malah menurutnya, ia jelas membuktikan kerajaan persekutuan sentiasa mendengar dan menuruti kehendak Sarawak sebagai komponen utama dalam negara ini bahawa hudud tidak pernah diletakkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekaligus tidak dapat dilaksanakan.

"Tetapi pembangkang yang kononnya anti hudud, kawan rapat mereka sendiri yang berusaha keras mahu membentangkannya di Parlimen sehingga mengancam ahli parlimen muslim dari Sarawak yang tidak menyokong RUU355 mereka sebagai anti Islam dan tidak prihatin kepada agama.

"Tahniah pembangkang atas segala pembohongan yang telah pecah tembelang dan bau busuknya semakin viral diketahui ramai," katanya.

Juanda (BN-Jemoreng) berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2017), 2016 dan Usul Untuk Merujuk Resolusi Anggaran Pembangunan Bagi Perbelanjaan 2017.

Beliau turut menyatakan pembangkang sebelum ini tidak setuju dengan hudud.

"Tetapi semalam rakan utama pembangkang yang 'flip flop' telah membentangkan pindaan RUU355 yang mereka dakwa sebagai hudud di Parlimen.

"Mereka kata di Sarawak mereka tidak setuju, tetapi di Selangor dan Pulau Pinang mereka boleh tidur bersama dalam satu bilik, di atas satu bantal, di bawah satu selimut, dalam satu kerajaan," ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dipetik sebagai berkata, Sarawak sama sekali akan menolak hukum Hudud dan ketetapan tersebut adalah muktamad, namun Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU355 tidak berkaitan dengan hudud.

Menurutnya, sebagaimana yang diterangkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Akta 355 itu tidak berkaitan dengan hudud.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA