#DUNSarawak: RM80 Juta Tingkatkan Industri Pertanian


KUCHING: Kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada rantaian bekalan dalam industri pertanian di negeri ini termasuk menggiatkan dan meningkatkan produk pertanian petani tempatan serta pemasaran.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, tumpuan turut diberikan kepada pelaburan sektor swasta serta pembangunan dan penyelidikan komersial.

Menurutnya, sebanyak RM80 juta diperuntukkan tahun depan untuk tujuan tersebut.

“RM8 juta diperuntukkan untuk mengukuhkan rankaian pengedaran termasuk menyelaraskan perolehan, pemprosesan dan pusat pembungkusan di Stesen Layar, PPK Lundu, Stesen Temudok dan IQF Tarat.

“RM20 juta pula diperuntukkan untuk meningkatkan akses antara lading dan pasaran dengan membangunkan lebih banyak lading manakala RM52 juta untuk meningkatkan pengeluaran produk pertanian dan pemberian insentif,” katanya menyampaikan Belanjawan Bagi Tahun 2017 Bersempena Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 hari ini.

Memandangkan sektor perkhidmatan merupakan penyumbang penting ekonomi negeri jelasnya, kerajaan negeri perlu mewujudkan dorongan pertumbuhan dalam sektor tersebut dengan memanfaatkan pelancongan sebagai pemacu utama.

“Kita akan menumpukan kepada pembangunan baharu dan mempelbagaikan produk pelancongan, tarikan dan acara yang dapat mentransform industri pelancongan.

“Ia termasuk memperuntukkan RM8 juta untuk membangunkan jenama utama Sarawak, RM4.5 juta (insentif penerbangan), RM12.3 juta (meningkatkan infrastruktur pelancongan), RM18.5 juta (mengukuhkan dan membangunkan produk pelancongan), RM2 juta (membangunkan aplikasi Sarawak untuk pemasaran digital), RM2.7 juta (pembangunan Akaun Satelit Pelancongan.

“Kita berharap pemain industri pelancongan akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini dalam usaha kita untuk mentransformasi industri pelancongan di negeri ini,” ujarnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA