#DUNSarawak: RM100juta Diperlukan Tambah Baik Perparitan Kritikal


KUCHING: Peruntukan berjumlah RM100 juta diperlukan tahun depan untuk pelaksanaan kerja-kerja menambahbaik perparitan yang kritikal di negeri ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata, projek tebatan banjir akan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kerajaan negeri mencadangkan peruntukan berjumlah RM100 juta pada 2017 untuk pelaksanaan kerja-kerja menambahbaik perparitan kritikal," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 pada hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri baru-baru ini meluluskan peruntukan RM3.5 juta dan RM6.9 juta untuk pelaksanaan kerja-kerja menambahbaik perparitan di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Padang Merdeka.

"Pelaksanaan kerja-kerja fizikal kedua-dua projek ini dijangka bermula tahun depan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Dr Sim berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM7.96 juta pada tahun ini untuk pelaksanaan 10 projek menambahbaik perparitan bandar di seluruh negeri.

"Enam daripada projek ini projek yang diteruskan daripada Rancangan Malaysia sebelum ini," jelasnya.

Menurutnya lagi, pada tahun depan sebanyak RM7.55juta dan RM110.66 juta diluluskan untuk projek tebatan banjir dan sungai.

"Sebagai tambahan, kerajaan persekutuan juga meluluskan peruntukan RM11 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) untuk pelaksanaan Pelan Induk Pengurusan Perparitan di negeri ini termasuk Sri Aman, Betong, Debak, Spaoh, Serian, Sarikei, Saratok, Limbang dan Lawas," kata Dr Sim.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA