#DUNSarawak: Rang Undang-Undang Pengagihan Gas Diluluskan Selepas Dibahaskan 28 ADUN


KUCHING: Rang Undang-Undang Pengagihan Gas 2016 diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi undian suara apabila lebih banyak bersetuju selepas dibacakan kali ketiga.

Seramai 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut serta membahaskan rang undang-undang tersebut.

Menteri Kemudahan Awam, Datuk Seri Dr Stephen Rundi ketika membentangkan rang undang-undang tersebut berkata, objektif utama adalah untuk mengawal selia pengagihan gas di Sarawak.

“Apabila diluluskan, semua aktiviti berkaitan pengagihan gas atau sistem pengagihan bekalan dan penyampaian gas diterangkan dalam klausa 7 yang akan dilesenkan oleh kerajaan negeri melalui pengarah pengagihan gas.

“Aktiviti ini merangkumi pengimportan gas cecair semulajadi ke Sarawak, ‘regasification’,rawatan, pemisahan dan pemprosesan gas, pengangkutan, bekalan dan peruncitan gas, pembinaan, pengurusan dan penyelenggaraan paip gas, terminal, loji dan fasiliti,” katanya.

Malah menurutnya, pengagihan semua jenis gas merangkumi gas semulajadi, gas semulajadi cecair (LNG), gas petroleum cecair (LPG) terutama yang digunakan dalam industri berat dan hospital.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan terus berbincang dengan Petronas untuk tabahan bekalan gas ke Sarawak untuk pengagihan di negeri ini dan memperkasa program pembangunan perindustrian.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA