#DUNSarawak: Rang Undang-Undang Pengagihan Gas 2016 Bukti Kerajaan Negeri Serius Ambil Balik Hak Sarawak


KUCHING: Datuk Dr Juanda Jaya (BN-Jemoreng) menyifatkan pembentangan Rang Undang-Undang Pengagihan Gas 2016 membuktikan kerajaan negeri serius untuk mengimplementasi isi kandungan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menjelaskan bukanlah terlalu lambat membentangkan rang undang-undang tersebut, beliau berkata, ia manifestasi kerajaan negeri yang serius menuntut balik hak negeri yang merupakan pemilik asal hasil bumi termasuk minyak dan gas ke dalam Persekutuan Malaysia.

"Ia kekal hak negeri dan negeri punya hak penuh untuk buat keputusan dan ambil manfaat daripada hasil bumi yang cukup bernilai ini.

"Rang undang-undang ini jawapan kepada dakwaan pembangkang yang memperlekehkan kerajaan negeri dalam soal tuntutan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963," katanya ketika berucap menyokong Rang Undang-Undang Pengagihan Gas 2016 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 hari ini.

Menurutnya, pembentangan rang undang-undang tersebut membuktikan kerajaan negeri sentiasa serius dan terus bertindak secara praktikal bahawa isi perjanjian tersebut mesti dilaksanakan dan bukan retorik.

"Melalui rang undang-undang ini, kerajaan diminta untuk memastikan pemain 'lokal' dilibatkan. Juga kerajaan hendaklah memastikan harga gas murah agar rakyat dapat menikmati hasil bumi sendiri.

"Pengguna di rumah, kilang, kenderaan dan industri hendaklah mendapat nikmat daripada rang undang-undang ini," ujarnya.

Juanda memohon kerajaan negeri melaksanakan melaksanakan undang-undang tersebut selepas diluluskan dengan segera dan melalui mekanisme yang telus, cekap dan berintegriti.

"Saya mahu melihat rakyat luar bandar tersenyum dengan harga gas yang murah bagi mengatasi bebanan sara hidup mereka yang biasanya menjadi mangsa pihak yang menjual gas lebih daripada harga yang sepatutnya," jelasnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA