#DUNSarawak: Penyelesaian Setinggan Terus Diberi Perhatian


KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) sedang berusaha untuk menyelesaikan 1,137 ketua isi rumah (KIR) setinggan melalui beberapa keadah penyelesaian, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi berkata, kaedah penyelesaian termasuk secara in-situ dan pemindahan setinggan ke skim penempatan semula dan skim pembesaran kampung sedia ada.

"Buat masa kini, JTS juga sedang dalam usaha untuk menyelesaikan 1,137 KIR setinggan," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di sini, hari ini.

Sejak Pelan Tindakan Pengurusan dan Penyelesaian Setinggan Negeri dilaksanakan, beliau berkata, jumlah setinggan yang berjaya diselesaikan kerajaan negeri adalah sebanyak 3,830 KIR.

"Ini adalah bersamaan 39.24 peratus daripada jumlah yang direkodkan pada tahun 2010 iaitu sebanyak 9,760 KIR," ujarnya.

Projek in-situ berjaya menyelesaikan 1,667 KIR, skim penempatan semula/skim pembesaran kampung (SPS/SPK) menyelesaikan 231 KIR, pemilikan unit di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) menyelesaikan 923 KIR, lain-lain bentuk penyelesaian swasta, pindah sendiri dan operasi penguatkuasaan (1,009 KIR).

Mengulas mengenai konsep sewa beli yang dibangkitkan Fazruddin Abdul Rahman (BN-Tupong), Abang Johari berkata, secara prinsipnya beliau bersetuju dengan pandangan skim sewa beli dapat meringankan beban penyewa.

"Ini adalah kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk membeli rumah yang mereka duduki sekarang jika mereka berkemampuan atau mempunyai dana simpanan mencukupi," ujarnya.

Bagaimanapun menurutnya, kementeriannya perlu mengkaji secara lebih terperinci membolehkan pangsapuri awam sedia ada disewa di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dijual kepada penyewa yang berminat melalui skim sewa beli.

"Ini adalah kerana ianya turut melibatkan dasar di peringkat persekutuan dan akan memberi implikasi terhadap proses hak milik strata dan mekanisme pengurusan pangsapuri tersebut," jelasnya.

Beliau menjelaskan, Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) turut membantu penyewa pangsapuri PPR sedia ada untuk mengurus tempat kediaman mereka dengan menempatkan pengurus kediaman sepenuh masa di beberapa projek PPR.

"Ia untuk memastikan tempat kediaman tersebut diurus dengan lebih baik dan profesional," kata Abang Johari.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA