#DUNSarawak: Penduduk Jalan Bau/Lundu Terpaksa Bayar Angin Bukannya Air


KUCHING: Penduduk kampung di sepanjang jalan Bau/Lundu sejak tiga tahun lepas terpaksa membayar 'tarif angin' bukannya air biarpun paip besar di kawasan tersebut sudah siap dipasang.

Ranum Mina (BN-Opar) berkata, perkara tersebut amat meresahkan penduduk kampung kerana bekalan air yang diidamkan masih belum dinikmati dengan konsisten.

"Bekalan air bersih ke kampung-kampung disepanjang jalan Bau/Lundu telah berlarutan hingga melebihi tiga tahun walaupun pemasangan paip besar dikatakan siap dipasang dan meter air telah dipasang ke rumah-rumah.

"Tetapi sungguh mengecewakan mereka kerana terpaksa membayar tarif angin yang membuat meter berjalan bukannya air.

"Penduduk memberitahu saya disebalik membayar air, kami membayar 'air' (angin)," katanya membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2017), 2016 dan Usul Untuk Merujuk Resolusi Anggaran Pembangunan Bagi Perbelanjaan 2017.

Beliau turut memohon kerajaan untuk menaiktaraf Jalan Biawak ke Kampung Pasir Hilir, Kampung Kendaie dan Kampung Selampit.

"Perkara ini sudah disuarakan beberapa kali dalam dewan yang mulia ini, sekali lagi saya memohon kerajaan supaya menaiktaraf jalan ini," ujarnya.

Disebabkan peruntukan pembinaan Jambatan Selampit sudah diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Ranum turut berharap kerajaan dapat melaksanakan pembinaan jambatan tersebut yang merentasi Sungai Kayan dijalan dengan segera.-Sarawakiana



No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA