#DUNSarawak: Pendapatan Eksport Produk Kayu Menurun


KUCHING: Nilai pendapatan eksport produk kayu Sarawak mencatatkan penurunan sebanyak 9.6 peratus dalam tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penurunan itu melibatkan nilai pendapatan RM4.89 bilion kepada RM4.42 bilion.

Eksport balak dan papan lapis menurutnya, nilai eksport masing-masing telah menurun sebanyak 19 peratus dan 12 peratus bagi tempoh Januari hingga September 2016.

Nilai eksport balak telah menurun daripada RM1.36 bilion kepada RM1.10 bilion manakala nilai eksport papan lapis telah menurun daripada RM2.43 bilion kepada RM2.15 bilion.

"Penurunan ini disebabkan oleh penyusutan eksport produk kayu ekoran daripada kekurangan permintaan pasaran utama seperti Jepun, India, Taiwan dan China," katanya ketika berucap menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di sini, hari ini.

Menurutnya, pasaran utama produk kayu Sarawak merupakan Jepun dengan 38 peratus, India (18 peratus), Korea Selatan, Taiwan dan Negara Timur Tengah masing-masingnya 9 peratus dan Filipina (3 peratus).

Awang Tengah menjelaskan, pada akhir tahun 2016, pendapatan eksport untuk produk perkayuan disasarkan menurun kepada RM6 bilion berbanding RM6.6 bilion tahun lepas.

"Ini adalah disebabkan oleh keadaan ekonomi dunia yang kurang memberangsangkan. Kersjaan negeri akan terus berusaha untuk mengukuhkan permintaan ke atas produk kayu Sarawak di pasaran antarabangsa dengan mengadakan program promosi pasaran," ujarnya.

Sementara itu, beliau menambah, kerajaan juga terus memperkasakan industri hiliran perkayuan melalui pengurangan kuota eksport balak daripada 40 peratus kepada 30 peratus bermula Julai lepas.

"Peratusan eksport balak akan terus dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan kelestarian bekalan untuk industri hiliran perkayuan tempatan.

"Penubuhan pusat penyelidikan dn pembangunan (R&D) yang telah mendapat peruntukan berjumlah RM5 juta akan membantu kerajaan meningkatkan lagi pembangunan industri hiliran perkayuan," jelasnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA