#DUNSarawak: Pembangunan Luar Bandar Tumpuan Bajet 2017


KUCHING: Bajet Negeri 2017 akan terus memberi penekanan kepada keperluan memacu agenda pembangunan walaupun berdepan keadaan ekonomi tidak menentu dengan penekanan diberikan kepada mempercepatkan pembangunan luar bandar.

Menteri Kewangan II Dato Sri Wong Soon Koh berkata, tumpuan tersebut turut mencakupi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat luar bandar dan pada masa sama merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar.

"Bajet 2017 menggambarkan keprihatinan kerajaan negeri membangunkan kawasan lur bandar dengan meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat (luar bandar)," katanya menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di sini hari ini.

Menurutnya, bajet tersebut turut memberi penekanan kepada kepentingan pengurusan kewangan yang bertanggungjawab untuk membolehkan negeri ini berdepan cabaran persekitaran ekonomi.

Untuk itu tambahnya, adalah perlu untuk terus mengukuhkan keberkesanan dan kecekapan sistem penyampaian pada semua peringkat untuk memastikan perkhidmatan berkualiti dapat diberikan kepada rakyat.

Soon Koh menjelaskan, peruntukan pembangunan lebih besar juga disediakan dalam bajet tahun depan berbanding tahun-tahun sebelum ini walaupun hasil negeri menurun.

"Hasil negeri yang menurun disebabkan kelembapan harga komoditi global terutama minyak mentah dan gas," ujarnya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, sebanyak 909 program dan projek bernilai RM20 bilion diluluskan untuk pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

"Daripada jumlah ini (909 projek), 441 dilaksanakan jabatan kerajaan manakala selebihnya di bawah badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

"Sebanyak 67 projek sudah siap manakala 374 projek lagi berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan," jelasnya.

Beliau menambah, sebanyak 527 projek persekutuan diluluskan untuk pelaksanaan di bawah 'First Rolling Plan' (RP1) RMK11.

"Setakat 31 Oktober lepas, 48 projek atau 9.1 peratus daripada keseluruhan projek sudah siap manakala 479 projek (90.9 peratus) berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan," kata Soon Koh.-Sarawakiana



No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA