#DUNSarawak: Pelbagai Inisiatif Diambil Perkasa Bioteknologi


KUCHING: Kerajaan negeri mengambil beberapa inisiatif untuk memperkasa penyelidikan pelbagai sektor terutama melibatkan pertanian, produk semulajadi dan tanaman dalam usaha mengukuhkan pembangunan produk berasaskan bioteknologi.

Menteri Muda Penyelidikan Sains dan Bioteknologi, Dr Annuar Rapa'ee berkata, inisiatif tersebut merangkumi agensi atau institusi penyelidikan negeri merangkumi Pusat Penyelidikan Pertanian, Pusat Biodiversiti Sarawak, CRAUN Research manakala agensi persekutuan melibatkan MARDI.

"Agensi terbabit bertindak mengawal sumber biologikal as;o dam tempatan seperti tanaman dan mikrob untuk penyelidikan serta pembangunan menggunakan bioteknologi bagi menghasilkan produk berasaskan bioteknologi," katanya menjawab pertanyaan (BN-Sadong Jaya) Aidel Lariwoo.

Aidel bertanyakan mengenai usaha kerajaan untuk memperkasakan produk yang berasaskan bioteknologi di Sarawak.

Menurut Dr Annuar lagi, inisiatif lain melibatkan penggabungan bidang pertumbuhan baharu di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang menumpukan kepada bioteknologi untuk menyokong industri bio negeri.

"Untuk itu, Taman Sains Mukah akan memain peranan penting dalam menyediakan infrastruktur untuk penyelidikan berkaitan bioteknologi untuk membangunkan produk daripada industri seperti kelapa sawit, produk berasaskan kayu, produk sagu, perikanan, pemprosesan makanan dan bukan makanan untuk pasaran halal, penjagaan kesihatan dan produk semulajadi serta herba," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka menjelaskan, beberapa institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), UPM (Bintulu), UiTM (Kota Samarahan), Curtin University dan Swinburne University of Technology Sarawak menjalankan program akademik dan penyelidikan dalam bioteknologi.-Sarawakiana






No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA