#DUNSarawak: Pampasan Sudah DIbayar, Tanggungjawab Pemilik Uruskan Elektrik, Air & Jalan


KUCHING: Pembayaran pampasan untuk pengambilan balik tanah bagi projek awam termasuk projek Pan Borneo adalah seperti yang diperuntukkan di bawah Kanun Tanah Negeri (Bab 81).

Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pampasan yang dibayar adalah merangkumi nilai tanah, nilai bangunan, kos gangguan dan pemindahan.

Malah menuruutnya, segala pembangunan yang dibenarkan termasuk penyambungan bekalan air dan elektrik di rumah kediaman sedia ada turut dibayar pampasan.

“Bayaran pampasan untuk pengambilan balik tanah adalah di bawah Kanun Tanah Negeri (Bab 81). Pampasan yang dibayar merangkumi nilai tanah, nilai bangunan, kos gangguan dan pemindahan.

“Memandangkan pampasan telah dibayar sepenuhnya, maka urusan penyambungan bekalan elektrik, air serta membina jalan baru ke rumah panjang baru adalah atas tanggungan pemilik sendiri,” katanya menjawab pertanyaan (BN-Tamin) Christopher Gira Sambang.

Christopher bertanyakan mengenai apakah kerajaan akan menyediakan peruntukan untuk memindahkan bekalan elektrik dan air serta membina jalan raya menuju ke rumah panjang baru yang telah diarahkan pindah di DUN Tamin bagi memberi laluan kepada pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo?

Sementara itu, Dr Abdul Rahman menjelaskan, pengguna di kawasan Oya, Dalat, Igan dan Matu mendapat bekalan melalui talian atas 33kV sepanjang 96km dari Mukah ke Matu dan Daro.

“Talian atas yang panjang ini terdedah kepada gangguan haiwan, angin kencang, pokok tumbang, cuaca buruk serta kilat yang boleh mengakibatkan gangguan bekalan elektrik,” ujarnya menjawab pertanyaan (BN-Jemoreng) Dato Dr Juanda Jaya.

Juanda bertanyakan mengenai tindakan kerajaan bagi membantu rakyat luar bandar yang mengalami masalah terputus bekalan elektrik yang kerap berlaku di Matu.

Menurutnya, sebagai langkah meningkatkan tahap ‘reliability’ dan mengurangkan gangguan bekalan, projek talian penghantaran 132kV dari Petian ke Daro dan pencawang 132kV di Daro sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada suku keempat 2017.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA