#DUNSarawak: Lesen Premis Hiburan Namun Pengusaha Jalankan Judi Online


KUCHING: Terdapat pengusaha premis hiburan yang menyalahgunakan lesen-lesen hiburan mengaut keuntungan dengan menjalankan aktiviti perjudian termasuk judi siber.

Dalam usaha menangani jenayah tersebut, Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datu Dr Penguang Manggil berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melancarkan Ops Dadu besar-besaran terhadap jenayah judi termasuk judi siber pada November tahun lepas.

Malah menurutnya, sejak operasi dijalankan, banyak serbuan dan tangkapan dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Menurut statistik PDRM, sejumlah 4,349 serbuan telah dibuat bagi tempoh dari 1 November 2015 hingga 31 Oktober 2016.

"Dalam tempoh tersebut, wang tunai sebanyak RM88,000 dan 826 mesin judi telah dirampas. Seramai 496 orang juga telah ditangkap atas kesalahan-kesalahan perjudian," katanya ketika menjawab pertanyaan Yussibnosh Balo (BN-Tellian) dan Ripin Lamat (BN-Lambir).

Yussibnosh bertanya judi siber berlaku berleluasa di kalangan belia bawah umur sebagai penjual 'top up' untuk mengaburi mata pihak berkuasa, apakah langkah-langkah kerajaan untuk membendung kegiatan ini?

Ripin pula bertanya mengenai usaha kementerian atau pihak berkuasa membendung perjudian atas talian dan penyalahgunaan dadah di kalangan belia sekarang.

Menurut Penguang, pengeluaran lesen kafe siber dibekukan sejak tahun 2004.

Penguang menjelaskan, kerajaan akan mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi dengan pengusaha yang rakus dan tidak bertanggungjawab.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diarah memantau dan mengambil tindakan sewajarnya dan jika didapati ada pengusaha-pengusaha menyalahgunakan lesen pengusaha premis, maka lesen mereka akan dibatalkan," ujarnya.

Menurutnya lagi, operasi bersepadu dan serbuan ke atas premis-premis judi akan diteruskan oleh PDRM dengan kerjsama PBT, Sarawak Energy Berhad (SEB), Telekom dan agensi lain.

"PDRM akan memperhebatkan lagi risikan jenayah terhadap jenayah ini sehingga kegiatan haram ini dapat dibendung," jelasnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA