#DUNSarawak: Kes Kehamilan Remaja Mencatat Penurunan


KUCHING: Kes kehamilan dalam kalangan remaja mencatatkan penurunan sebanyak 1,991 kes bermula tahun 2013 sehingga Oktober tahun ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah berkata, sebanyak 4,078 kes dalam tahun 2013 manakala 2,087 kes tahun ini.

Menurutnya, keadaan tersebut akan dapat mengurangkan kebimbangan masyarakat tentang kesejahteraan ibu remaja yang belum bersedia dari segi fisiologi dan emosi selain kemampuan untuk memikul tanggungjawab berat sebagai ibu dan kesejahteraan anak-anak yang dilahirkan oleh mereka.

"Pada tahun 2017, kementerian bersama 'One Stop Teenage Pregnancy Committee akan mempergiatkan lagi usaha pencegahan dan advokasi dalam kalangan ppelajar-pelajar sekolah menengah Sarawak melalui kesedaran dan advokasi pendidikan seksual (KAPS)," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di sini, hari ini.

Sehubungan itu menurutnya, satu lagi tindakan yang akan dilaksanakan untuk menggelakkan pembuangan bayi secara tidak berperikemanusiaan, kementeriannya akan menjalin kerjasama strategik dengan KPJ Kuching Specialist Hospital bagi melaksanakan Projek KPJ Baby Hatch di hospital tersebut.

"Projek yang pertama di Sarawak ini akan dilancarkan pada 20 Januari 2017. Tujuan 'Baby Hatch' adalah untuk menggelakkan pembuangan bayi di tempat tidak selamat, mengurangkan kematian bayi yang tidak dikehendaki serta menyelamatkan nyawa bayi yang tidak minta dilahirkan tetapi mempunyai hak untuk hidup," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Fatimah menjelaskan, kerajaan persekutuan bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi menangani masalah penduduk yang lahir dan menetap di Sarawak tetapi tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

"Melalui pasukan petugas khas ini, prosedur permohonan pendaftaran lewat kelahiran telah dipermudahkan dengan hanya memerlukan pengesahan secara akuan berkanun (Statutory Declarations Act 1960) oleh ketua kaum/ketua masyarakat.

"Inisiatif ini telah dilaksanakan mulai 15 September 2015 dan akan berakhir pada 31 Disember 2017.

"Sehingga kini, sebanyak 3,564 permohonan dokumen pengenalan diri telah diterima untuk diproses oleh JPN dan daripada jumlah ini sebanyak 2,470 (69.3 peratus) permohonan telah diluluskan, 1,082 (30.4 peratus) ditolak, sementara 12 (0.3 peratus) masih dalam pertimbangan," jelasnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA