#DUNSarawak: Kerajaan Negeri Serius Selesai Masalah Jerebu Di Miri


KUCHING: Bagi mengatasi dan mengurangkan masalah jerebu di Miri, kerajaan negeri sentiasa serius untuk mencari penyelesaian termasuk melaksanakan pelbagai langkah.

Menteri Muda Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, antara langkah dimbil termasuk membina menara tinjau untuk memantau kebakaran tanah gambut dan pembakaran haram.

Langkah lain melibatkan pembinaan beberapa 'check dam' untuk mengawal paras air dan 'tube well' untuk sumber air bagi operasi pemadaman, operasi pemadaman api, termasuk pengeboman air dan pembenihan awan, memasang lebih banyak papan tanda, pemantauan dan penguatkuasaan serta membeku dan menghentikan pengeluaran Permit Pembakaran Terbuka (Open Burning Permit).

Menurutnya, kerajaan turut mengambil langkah seperti mendapat kerjasama daripada masyarakat tempatan, bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan mensyaratkan syarikat-syarikat yang memiliki tanah berskala besar yang belum dibangunkan untuk menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP).

"Sejak usaha ini direalisasikan, keadaan jerebu tempatan adalah terkawal dengan insiden kebakaran tanah gambut telah berkurangan," katanya menjawab pertanyaan (BN-Piasau) Dato Sebastian Ting.

Sebastian bertanyakan mengenai polisi segera dan pelan tindakan untuk menyelesaikan masalah jerebu di Miri dan jaminan kerajaan bahawa pembakaran terbuka dan jerebu tidak berulang di Miri.

Menurut Len lagi, masalah jerebu di Sarawak adalah disebabkan jerebu rentas sempadan, kebakaran terbuka punca tempatan dan kebakaran tanah gambut.

"Kerajaan memandang serius masalah jerebu ini dan sehubungan itu, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan telah merangka pelan tindakan pengurusan bersepadu dan penguatkuasaan pembakaran terbuka di Sarawak," ujarnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA