#DUNSarawak: Kerajaan Anjur Pelbagai Program Tingkatkan Penglibatan Usahawan


KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Pedagangan dan Pelaburan menganjurkan pelbagai program keusahawanan bagi meningkatkan penglibatan usahawan.

Menterinya Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, kementerian telah merancang dan melaksanakan pelbagai program, projek dan aktiviti pembangunan keusahawanan yang melibatkan masyarakat bandar dan luar bandar dalam kerana bidang keusahawanan telah banyak menyumbang kepada peningkatan hidup dan ekonomi pelbagai lapisan masyarakat.

"MIETI Sarawak mengadakan program dialog bersama dewan dan persatuan perniagaan serta para usahawan bagi berkongsi maklumat dan mendapat maklum balas serta menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat niaga.

"Disamping itu MIETI Sarawak turut bekerjasama dengan Institur Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menjalankan beberapa program seperti peningkatan Peningkatan Kualiti Produk Pemakanan dan penambahbaikan dari segi teknologi pembungkusan serta pembangunan produk nilai tambah," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada masa sama kursus dan latihan kemahiran turut melibatkan MIETI meneruskan Kursus Teknologi Pemprosesan Makanan bersama MARDI yang setakat ini telah memberi manfaat kepada 1,423 orang usahawan.

Menurut beliau antara program latihan kemahiran lain seperti kursus sejuk beku, pembuatan mi, penghasilan madu kelulut, pensijilan halal dan kursus kraftangan telah memberi manfaat kepada 6,374 orang dan SEDC telah melatih seramai 5,813 orang usahawan melalui kursus dan seminar keusahawanan yang dianjurkan.

Beliau menambah, terdapat juga program GERAK yang melahirkan 95 orang graduan dalam keusahawanan malah mereka sudah memulakan perniagaan.

"Program USTEV memberi fokus kepada pembangunan dalam bidang teknikal dan kementerian bekerjasama dengan Pusat Kecemerlangan Teknikal (CENTEXS) serta institusi-institusi lain untuk melahirkan seramai 20 orang usahawan pada tahun 2017," tambahnya lagi.
-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA