#DUNSarawak: Kampung Di Demak Laut Perlu Akses Jalan Raya


KUCHING: Akses jalan raya masih menjadi isu utama pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut kerana beberapa kampung belum dihubungankan.

Dr Hazland Abang Hipni (BN-Demak Laut) berkata, kampung-kampung yang masih memerlukan jalan raya merangkumi Kampung Bako, Kampung Beradek Semilang, Kampung Tiang Api dan Kampung Pinggan Jaya Muhibbah Pending.

"Adalah menjadi harapan rakyat di Demak Laut untuk meningkatkan perhubungan di kawasan kami kerana masih memerlukan banyak lagi jalan raya," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2017), 2016 dan Usul Untuk Merujuk Resolusi Anggaran Pembangunan Bagi Perbelanjaan 2017.

Menurutnya, penduduk Demak Laut juga menanti penuh harapan projek jambatan di Tg Bako, Beradek Semilang dan Tiang Api.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan, pembangunan Centres Of Technical Excellence (CENTEX) adalah begitu sesuai sekali dibina di kawasan perindustrian Demak Laut.

"Ini kerana Demak Laut sudah dilengkapi dengan begitu banyak sekali kilang-kilang perindustrian yang boleh menjadi tempat latihan semulajadi," ujarnya.

Dr Hazland berkata, Demak Laut masih mempunyai lebih 200 orang miskin tegar, 3,000 penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), 10,000 warga emas, lebih 1,000 ibu tunggal, 500 anak yatim, 300 OKU yang masih memerlukan bantuan kebajikan untuk kehidupan seharian.

"Adalah diharapkan cadangan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk bajet 2017 disalurkan kepada golongan ini," jelasnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA