#DUNSarawak: Jenayah Di Sarawak Menurun 8 Peratus


KUCHING: Situasi jenayah di Sarawak berada pada tahap terkawal dalam 10 bulan tahun ini dengan penurunan 471 kes atau 8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Menteri Belia, Sukan dan Solidariti, Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, dalam 10 bulan tahun ini, Sarawak merekodkan 5,604 indeks jenayah.

"Secara keseluruhannya situasi jenayah di Sarawak terkawal dengan penurunan lapan peratus," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, bagi daerah Kuching, sebanyak 1,324 kes dicatatkan pada 10 bulan tahun ini berbanding 1,537 kes pada tempoh sama tahun lepas.

"Ini menunjukkan penurunan 213 kes atau penurunan 13.86 peratus. Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelesaikan kes pada kadar 65 peratus bagi daerah Kuching," ujarnya.

Mengenai kurang tindakan penguatkuasaan bagi isu pertikaian tanah di kawasan Bekenu, Manyin menjelaskan, berdasarkan rekod PDRM dalam tempoh 2012 hingga 2016, sejumlah 41 kertas siasatan dibuka semntara lima orang dihadapkan ke mahkamah di bawah Kanun Keseksaan dan empat otang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Sementara itu beliau berkata, pembinaan Balai Polis Samalaju akan bermula setelah isu geran hak milik tanah diselesaikan.

"Projek ini telah diluluskan oleh kerajaan," ujarnya.

Pondok Polis Lingga dan Pondok Polis Meludam yang daif pula katanya akan dikemukakan permohonan bajet dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA