#DUNSarawak: Ceburi Penanaman Jagung Manis, Keladi & Sayur


KUCHING: Jagung manis, keladi dan sayur dilihat mampu memberikan pulangan lumayan sekiranya dapat diusahakan secara komersial, kata Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar dan Perikanan (Pesisir) Datuk Julaihi Narawi.

Beliau berkata, tiga tanaman tersebut merupakan alternatif kepada petani untuk menjana pendapatan.

"Antara tanaman alternatif yang boleh diusahakan dan memberi pulangan yang lumayan dan cepat adalah tanaman jagung manis, keladi dan sayur secara komersial," katanya ketika menjawab pertanyaan Simoi Peri (BN-Lingga).

Simoi bertanya mengenai perancangan kerajaan untuk memperkenalkan program penanaman alternatif yang mendatangkan pulangan lumayan yang cepat kepada para petani dan nelayan di DUN Lingga.

Menurut Julaihi, kebanyakan penduduk di kawasan Lingga adalah terdiri daripada petani-petani yang mengusahakan padi sawah dan nelayan sungai.

"Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan penduduk-penduduk luar bandar melalui pelaksanaan program pertanian dan industri hiliran pertanian yang sesuai mengikut jenis tanah yang dimiliki oleh para petani," ujarnya.

Julaihi menjelaskan, Jabatan Pertanian Sarawak telah mewujudkan Program Mempelbagaikan Tanaman yang merangkumi tanaman kontan (keladi dan jagung), sayur, nipah dan ternakan kelulut.

"Dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), seramai 34 petani telah dibantu di bawah program ini dengan melibatkan keluasan 18.5 hektar.

"Program ini masih diteruskan dalam RMK11 supaya ramai petani terlibat dalam program ini," jelasnya.

Menjawab pertanyaan Dato Henry Harry Jinep (BN-Tasik Biru), beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Industri (Pelaburan dan Promosi) berkata, cadangan Estet Perindustrian Bau telah diluluskan untuk dilaksanakan di bawah RMK11.

"Projek ini akan dimulakan dalam tahun 2017 dengan pengambilan balik tanah untuk tapak projek oleh Jabatn Tanah dan Survei," kata Julaihi.

Henry bertanya bilakah pembinaan kawasan perindustrian di daerah Bau atau DUN Tasik Biru khasnya akan dimulakan dan apakah perancangan kerajaan dalam pembangunan kawasan perindustrian tersebut?-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA