#DUNSarawak: Bukan 'Pusingan U' Tetapi Lebih Percayakan Diplomasi


KUCHING: Kerajaan negeri tidak membuat 'Pusingan U' apabila tidak membentang usul berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersedia untuk berunding berhubung perkara tersebut.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, Najib secara jelas bersedia untuk mencari penyelesaian dan kerajaan negeri lebih mengutamakan diplomasi berbanding konfrantasi.

"Perdana Menteri mengumumkan beliau bersedia untuk berbincang dengan Sarawak dan Sabah mengenai isu ini untuk mengelak salah faham mengenai MA63.

"Kerajaan negeri tidak membuat pusingan u mengenai perkara ini kerana kita percaya kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) sebagai keluarga boleh menyelesaikan isu antara kedua-dua pihak," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di sini, hari ini.

Menurutnya, pendekatan perundingan yang diambil berhubung perkara tersebut adalah kerana Perdana Menteri kerap melawat Sarawak dan meluluskan banyak projek semasa kunjungan beliau.

"Kita bernasib baik kerana memiliki Perdana Menteri (Najib) yang prihatin dengan kerap melawat Sarawak sejak dilantik (Perdana Menteri)," ujarnya.

Beliau menjelaskan, keadaan tersebut menunjukkan Perdana Menteri mengambil berat kesejahteraan rakyat negeri ini.

Mengenai senario politik, Adenan berkata, sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) untuk undi popular meningkat kepada 62.2 peratus pada pilihan raya negeri (PRN) lepas.

"Ia terbukti dengan kemenangan besar BN dengan memenangi 72 daripada 82 kerusi pada PRN11.

"Rakyat sudah membuat pilihan dan kita (kerajaan BN) akan terus menjalankan tanggungjawab untuk menunaikan semua janji," jelasnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA